PETALING JAYA: Maybank mencatatkan keuntungan bersih RM7.84 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, meningkat 3.7 peratus berbanding RM7.56 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi suku ketiga, untung bersih bank terbesar di Malaysia itu meningkat kepada RM2.62 bilion daripada RM2.54 bilion yang diraih pada suku sama tahun lalu.
Peningkatan ini disokong oleh prestasi pendapatan berasaskan dana bersih yang stabil, pendapatan bukan faedah (NoII) yang lebih tinggi dan disiplin pengurusan risiko yang berhemah di seluruh rangkaian serantaunya.
Pendapatan operasi bersih meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun kepada RM22.86 bilion, disokong oleh pendapatan berasaskan dana bersihnya yang meningkat 1.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.90 bilion dan NoII yang meningkat 6.3 peratus kepada RM7.96 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, Maybank menunjukkan prestasi yang stabil bagi suku tersebut walaupun terdapat ketidaktentuan dan cabaran yang berterusan dalam landskap global.
“Kumpulan mengekalkan pendekatan berdisiplin dalam menguruskan risiko mudah tunai, pembiayaan dan risiko kredit, disamping terus memberi perkhidmatan kepada pelanggan merentasi semua segmen.
“Kualiti aset yang mampan mencerminkan pengurusan risiko Kumpulan yang berhemat, manakala pertumbuhan nisbah Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) yang kukuh dan pemulihan NIM menekankan daya tarikan positif strategi deposit dan pendanaannya.
“Sebagai mengakhiri fasa akhir M25+, tumpuan kami kekal pada mengukuhkan penambahbaikan struktur yang telah dilaksanakan terutamanya dalam produktiviti, kecekapan modal dan pengalaman pelanggan.
“Asas ini akan menyediakan landasan kukuh seiring peralihan kami kepada pusingan strategik seterusnya, di mana kami akan terus membina kedudukan kukuh dalam perbankan Islam dan berasaskan nilai, pengurusan kekayaan dan perdagangan, meningkatkan daya saing bagi memacu pertumbuhan mampan dan inklusif.
“Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan serantau berpacukan tujuan,” katanya.
Sementara itu, peruntukan rosot nilai bersih bagi tempoh sembilan bulan reda kepada RM1.25 bilion, bertambah baik 1.5 peratus tahun ke tahun berikutan penyempurnaan proses penstrukturan semula peminjam korporat serta pemulihan yang dibuat bagi portfolio bukan runcit.
Kadar caj kredit bersih kumpulan bertambah baik kepada 11 mata asas berbanding 26 mata asas pada sembilan bulan tahun kewangan 2024, didorong oleh peruntukan pinjaman yang lebih rendah.
Sementara itu, nisbah pinjaman terjejas kasar mencatatkan peningkatan sederhana kepada 1.32 peratus daripada 1.26 peratus manakala perlindungan kerugian pinjaman kekal sihat pada 110.1 peratus.
Secara keseluruhan, metrik ini menunjukkan bahawa pendekatan peruntukan konservatif kumpulan menyediakan perlindungan yang sihat terhadap potensi ketidaktentuan kredit sambil membolehkan sokongan berterusan kepada pelanggan. – UTUSAN











