SHAH ALAM: Mardhiyyah Hotel & Suites Sdn. Bhd., kini muncul antara peneraju utama industri perhotelan di Shah Alam dengan kadar penghunian stabil mencecah 70 peratus dan reputasi kukuh dalam segmen perniagaan serta pelancongan domestik selepas melalui tempoh mencabar sepanjang pandemik Covid-19.
Pengurus Besar Mardhiyyah Hotel & Suites, Bahrun Ismara Nor berkata, projek transformasi hotel yang bermula pada 2020, ketika sektor pelancongan terjejas teruk akibat pandemik.
Ujarnya, ia melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian besar di lobi, restoran serta kemudahan lain seperti taman permainan kanak-kanak dan menambah baik kemudahan bilik penginapan orang kurang upaya (OKU).
“Selepas tiga tahun proses pengubahsuaian hotel ini siap sepenuhnya pada 2022 dengan kemudahan moden serta reka bentuk yang mengekalkan identiti Islamik dan mesra Islam.
“Kini, dengan 341 bilik penginapan dan pelbagai bilik serbaguna lengkap , Mardhiyyah Hotel & Suites terus menarik pelancong tempatan dan serantau khususnya dari Singapura, Indonesia serta pasaran pelancongan perubatan yang melibatkan institusi seperti MSU Medical Centre dan hospital sekitar Shah Alam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurutnya, strategi pemasaran hotel ini menekankan keseimbangan antara jualan luar talian dan dalam talian dengan 30 peratus daripada tempahan kini disumbang oleh platform digital.
“Kami juga mengekalkan kualiti premium dengan kadar harga dinamik sekitar RM300 hingga RM450 bagi bilik lima bintang, sementara pelanggan kerajaan menikmati kadar purata RM250,” katanya.
Mardhiyyah Hotel & Suites turut menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui pameran dan program penjenamaan untuk meningkatkan keterlihatan jenama di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata, hotel ini juga mengekalkan status ‘Muslim Friendly’ sepenuhnya, dengan semua restoran diperakui halal dan dilengkapi lapan sijil halal.
“Kemudahan seperti surau, serta sistem pesanan makanan melalui imbasan kod QR, menjadikan pengalaman penginapan lebih mesra pelanggan dan efisien.
“Dalam memastikan daya saing jangka panjang, pihak pengurusan menekankan latihan berterusan kepada kakitangan serta perancangan strategik jangka panjang selama empat tahun yang telah membuahkan hasil.
“Kami ingin kekal sebagai peneraju pasaran di Shah Alam dengan mengekalkan kepuasan pelanggan dan kualiti perkhidmatan bertaraf lima bintang,” tambahnya. – UTUSAN










