PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri terus mencatatkan peningkatan apabila 11,497 mangsa diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Berdasarkan kemas kini di laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 12 tengah hari ini, sebanyak 74 PPS telah diaktifkan untuk memberi perlindungan kepada 4,099 keluarga.
Negeri yang terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor.
Di Kelantan, mangsa dipindahkan terus mencatatkan pertambahan dan tertinggi iaitu membabitkan 8,823 orang ke 36 PPS. Empat daerah di negeri tersebut terjejas buat masa ini iaitu Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
Di Perak juga terdapat peningkatan membabitkan mangsa dipindahkan iaitu seramai 1,187 orang daripada 390 keluarga dari daerah Perak Tengah, Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Batang Padang.
Di Perlis, secara keseluruhannya terdapat enam PPS diaktifkan bagi menempatkan seramai 416 mangsa membabitkan dua daerah iaitu Padang Besar dan Kangar.
Di Kedah, daerah Kulim dan Kubang Pasu dilaporkan terjejas akibat banjir dengan 391 mangsa dipindahkan di lima PPS.
Di Pulau Pinang, dua daerah dilaporkan terjejas iaitu Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah membabitkan 322 mangsa.
Di Terengganu, seramai 285 mangsa dipindahkan di daerah Besut setakat ini membabitkan dua PPS.
Di Selangor, seramai 73 mangsa dipindahkan ke lima PPS yang dibuka di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat dan Shah Alam selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir. – UTUSAN










