PETALING JAYA: Kerjasama serantau serta penyelarasan dasar yang lebih tersusun membolehkan Malaysia menangani kejutan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) dan menangani pelbagai cabaran global termasuk tekanan rantaian bekalan dan perubahan teknologi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan Malaysia menghadapi tekanan tarif dan ketidaktentuan global membuktikan pentingnya kerjasama erat dalam kalangan negara jiran khususnya di rantau ASEAN dan Asia.
“Kami mendapati apabila dasar diselaraskan dan peraturan lebih jelas, kesan kejutan dapat dibendung dengan kerosakan yang minimum.
“Pengajarannya jelas, ketahanan datang daripada persiapan bersama, bukan pengasingan,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg, Afrika Selatan, malam tadi.
Anwar berkata, Sidang Kemuncak G20 tahun ini berlangsung ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik yang semakin mendalam, malah banyak pihak berpendapat keadaan sekarang hanyalah permulaan kepada ketidakstabilan yang lebih besar.
“Selepas krisis kewangan 2008 dan sekali lagi ketika pandemik Covid-19, ramai yang terbiar dalam keadaan rapuh berbanding diberikan sokongan. Kesan politik daripada kejutan itu masih dirasai sehingga hari ini,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, pelbagai cabaran pada masa akan datang yang lebih besar dan sukar akan dihadapi oleh semua pihak terutama apabila kecerdasan buatan (AI) mula mengubah pasaran buruh.
Katanya, tanpa pelaburan dalam bidang teknologi, golongan pekerja terutama anak muda dan wanita berisiko menghadapi perubahan tersebut.
“Kita pernah menyaksikan akibatnya apabila masyarakat tidak bersedia menghadapi arus globalisasi.
“Ia meliputi tadbir urus yang lemah, kemiskinan berpanjangan, rasuah berleluasa, gaji tidak berkembang, hilangnya kepercayaan serta politik yang tidak berasas,” katanya.
Anwar berkata, tanpa persediaan rapi, perkembangan AI boleh mencetuskan ketidakstabilan dan cabaran terbesar pada era globalisasi ini.
“Ini bakal menjadi salah satu cabaran utama zaman kita dan Malaysia perlu memastikan rakyat terutama golongan muda bersedia bagi menghadapi kepantasan perubahan teknologi,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan pelaburan dalam program latihan serta penyediaan jaringan keselamatan sosial yang diyakini. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menanggung sebahagian besar beban pekerjaan juga perlu diberikan sokongan.
“Malaysia sudah ke hadapan melalui pelaksanaan ASEAN Digital Economy Framework Agreement yang akan menetapkan piawaian bersama dalam aspek data, pembayaran dan perdagangan digital,” katanya.
Mengulas mengenai ketahanan global, Anwar berkata, kebanyakan negara sedang membangun kini membelanjakan lebih banyak dana untuk membayar hutang berbanding pendidikan atau pelaburan. – UTUSAN










