PETALING JAYA: Malaysia menggesa semua pihak yang bertelagah di Sudan menghentikan serta-merta segala bentuk keganasan dan memastikan perlindungan penuh terhadap orang awam selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kini adalah menghentikan pertumpahan darah dan memastikan keselamatan rakyat yang tidak bersalah di El Fasher serta seluruh wilayah Darfur.
“Malaysia menyeru agar semua bentuk keganasan dihentikan serta-merta dan perlindungan terhadap orang awam diberikan sepenuhnya mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.
Anwar turut menzahirkan kebimbangan terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku, yang disifatkannya sebagai bencana besar melibatkan pembunuhan beramai-ramai.
Perdana Menteri turut mengecam laporan mengenai kekejaman yang mungkin menjurus kepada jenayah terhadap kemanusiaan atau genosid, sambil menegaskan bahawa tindakan sedemikian tidak boleh diterima dalam apa juga keadaan.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera serta tegas bagi mengelak penderitaan lanjut, memulihkan akses kemanusiaan dan menyokong proses yang kredibel ke arah keamanan serta akauntabiliti,” katanya.
Perdana Menteri turut berkongsi perkembangan kesihatannya yang semakin baik selepas melalui tempoh pemulihan (healing).
Menerusi hantaran di platform Facebook, Anwar turut menzahirkan rasa syukur.
“Healing dengan cucu. Alhamdulillah, kian beransur pulih. Terima kasih atas doa semua,” katanya.
Perdana Menteri turut mengucapkan selamat maju jaya kepada lebih 400,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang mula menduduki peperiksaan itu semalam.
Beliau menitipkan pesanan agar calon-calon kekal tenang dan yakin dengan usaha yang telah dilakukan sepanjang tempoh pembelajaran serta persediaan menghadapi peperiksaan penting itu.
“Inilah saat untuk menterjemahkan segala usaha, pengorbanan, setiap malam tanpa lena dan tiap doa yang tidak pernah putus selama ini,” katanya.
Anwar turut menasihatkan calon SPM agar terus berdoa serta percaya bahawa doa ibu bapa, guru dan seluruh rakyat Malaysia mengiringi perjuangan mereka.
“Moga setiap usaha diberkati, setiap langkah dipermudah dan anda semua memperoleh keputusan cemerlang,” katanya. – UTUSAN










