Malaysia bukan punca penggantungan rundingan damai Thailand-Kemboja

Malaysia bukan punca penggantungan rundingan damai Thailand-Kemboja

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggantungan sementara Perjanjian Damai Thailand–Kemboja bukan berpunca daripada peranan Malaysia sebagai pengantara dalam membantu memuktamadkan rundingan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian damai itu dibuat melalui saluran rundingan rasmi antara kerajaan, bukannya melibatkan individu tertentu seperti yang didakwa oleh pihak luar.

“Dalam Malaysia pun ada yang tidak bersetuju berhubung Perjanjian Damai Thailand dan Kemboja, begitu juga di Thailand. Tetapi saya berunding dengan Perdana Menteri dan kerajaan yang sah.

“Kalau ada seorang bekas Mejar Jeneral Thailand, Rangsi Kitiyansap yang tidak pernah menang pilihan raya mahu bersuara, itu hak dia. Tapi mengapa mahu jadikan dia sebagai hero? Ini masalahnya. Kita perlu lihat konteks sebenar,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan dalam menghadapi tekanan antarabangsa susulan laporan media asing berhubung isu hubungan diplomatik serantau.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan Malaysia dalam memudah cara rundingan damai dan kestabilan ekonomi negara turut menarik perhatian dunia sehingga menyebabkan ada pihak luar berasa tidak senang dengan kemajuan yang dicapai oleh negara kecil seperti Malaysia.

Mengulas laporan Perdana Menteri Thailand menolak cadangan Malaysia untuk menghantar lebih ramai anggota tentera pengaman ke sempadan Kemboja-Thailand, Anwar berkata, perkara itu berkait dengan insiden letupan periuk api di kawasan bersempadan.

“Saya telah berhubung secara terus dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul termasuk bekas pemimpin negara itu sebelum ini.

“Beliau (Anutin) menyatakan sementara menunggu isu letupan periuk api belum diselesaikan, kelulusan bagi penambahan pasukan pengaman perlu ditangguhkan.

“Namun beliau tidak menolak peranan Malaysia. Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sedang berunding semula bagi memastikan perjanjian damai dapat diteruskan,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, perjanjian damai antara kedua-dua negara menekankan dua perkara utama iaitu pengunduran pasukan dari kawasan sempadan serta penyelesaian isu letupan periuk api.

“Beliau (Anutin) tidak mempertikai tanggungjawab Malaysia, malah meminta supaya Kemboja turut mematuhi sepenuhnya perjanjian damai yang dimeterai.

“Jika perkara itu dipatuhi, 18 tahanan di bawah Thailand akan dibebaskan mengikut perjanjian damai antara kedua-dua negara,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia memainkan peranan sebagai pengantara perdamaian, bukan pihak yang menetapkan syarat kepada mana-mana negara.

“Kita hanya membantu menyelaras, bukan menentukan parameter perjanjian. Kedua-dua pihak (Thailand dan Kemboja) yang menetapkan sendiri syarat perdamaian itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN