PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Slam, Zamani, mencuri tumpuan apabila turut terjebak dengan trend lagu ‘Jamilah’ yang sedang hangat di media sosial.
Menerusi sebuah video berdurasi kurang seminit, penyanyi Syair Si Pari-Pari itu duduk berbaju biru dengan cermin mata gelap sambil bibirnya mengikuti lirik lagu Jamilah nyanyian asal, Jamal Mirsad.
Menerusi ruangan kapsyen, penyanyi itu secara berseloroh mengakui terpengaruh dengan video yang dikongsikan selebriti, Que Haidar sebelum ini di aplikasi TikTok.
Ramai yang geli hati dengan perkongsian Zamani sehingga ada yang memanggilnya dengan gelaran ‘Jamani’.
Malah, video tersebut turut meraih lebih 1 juta tontonan dan hampir 2,000 komen di TikTok.
“Tolonglah, saya dah penat orang asyik cari saya,” tulis seorang pengguna bernama Wan Jamilah.
“Versi yang ini kita terima sebab sopan,” tulis satu komen.
“Saya sanggup tukar nama demi abang Zamani,” usik satu komen.
Terdahulu, lagu Jamilah tiba-tiba meledak selepas Que Haidar memuat naik video spontan menyanyikan lagu itu ketika berbaring di atas katil.
Selepas itu, semakin ramai yang meniru kelakuan pelakon Rock itu antaranya penyampai radio, Azad Jasmin, usahawan, Datuk Red atau Datuk Seri Adnan, Datuk Afdlin Shauki dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin. -UTUSAN










