SEPANG: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya agensi itu berhasrat membuka siasatan terhadap projek Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bagaimanapun, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, ketika ini, pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada SPRM berhubung siasatan Aerotrain yang kembali mula beroperasi pada Julai lalu.
“Saya belum menerima sebarang permintaan untuk mereka datang, tetapi sebagai agensi yang berkait rapat dengan kerajaan, kami terbuka bekerjasama dengan SPRM,” katanya pada sesi taklimat khas bersama MAHB di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan SPRM bebas menjalankan siasatan terhadap projek Aerotrain yang bernilai RM456 juta mengikut undang-undang sedia ada.
Untuk rekod, pembinaan projek Aerotrain di KLIA Terminal 1 dibiayai sepenuhnya oleh MAHB dan tidak melibatkan sebarang dana kerajaan.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada MAHB ditekan untuk mempercepatkan garis masa operasi Aerotrain, Mohd. Izani berkata, pihak pengendali berjaya memenuhi keperluan tersebut untuk beroperasi lebih awal.
Pada masa sama, Mohd. Izani turut menafikan dakwaan bahawa Aerotrain dipaksa beroperasi lebih awal susulan pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini.
“Sistem Aerotrain memang dapat beroperasi semula lebih awal walaupun tarikh pelancaran rasmi adalah pada Disember.
“Akhirnya, kami berjaya melaksanakannya. Dan hari ini, kami mengadakan taklimat pelan komprehensif bagi memastikan semua isu dapat ditangani,” katanya. – UTUSAN










