
TANJUNG MALIM: Kedudukan strategik Kampung Menderang di Sungkai yang terletak di jajaran Banjaran Titiwangsa serta berhampiran sungai utama menjadi kelebihan kepada penduduk kampung ini untuk memanfaatkan sumber semula jadi dengan membangunkan sektor agrotourism berasaskan ternakan madu kelulut sejak lebih setahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) merangkap Ketua Kampung Menderang, Mohd. Suhaili Abu Kassim, 53, berkata usaha tersebut bukan sahaja menghidupkan kembali ekonomi luar bandar tetapi turut membantu menjana pendapatan penduduk setempat termasuk golongan ibu tunggal dan kumpulan B40.
Katanya, sebanyak 30 log atau sarang lebah kelulut diusahakan di kawasan tanah seluas 0.80 hektar, dan setakat ini, hasil pengeluaran madu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong tempatan serta antarabangsa.
“Sejak mula diusahakan, kami menerima kunjungan pelancong dari Jepun dan Australia. Mereka bukan sekadar menikmati keindahan kampung dan merasai madu kelulut segar, malah turut mengimport produk ini ke negara masing-masing,” katanya.
Hasil kerjasama dengan pensyarah dan pelajar universiti tempatan, melahirkan idea penghasilan produk hiliran madu kelulut seperti sabun, coklat, batang madu (stick) dan produk penjagaan kebersihan wanita yang kini sedang dirancang untuk dikomersialkan.
Selain madu, kampung tersebut turut memperkenalkan roti lebah (bee bread), sejenis debunga yang dihasilkan daripada campuran debunga, nektar dan air liur lebah kelulut yang kaya dengan nutrien semula jadi.
“Roti lebah ini menjadi makanan utama anak-anak kelulut dan mempunyai khasiat tinggi kepada manusia. Ia kini semakin mendapat perhatian pengunjung yang datang,” katanya.
Penternakan lebah kelulut turut memberi impak positif terhadap ekosistem pertanian di sekitar kawasan tersebut apabila tanaman seperti nanas, durian, cempedak, nangka, rambutan, serai, kuinin dan mempelam tumbuh subur serta menghasilkan buah yang banyak hasil daripada proses pendebungaan semula jadi.
“Kami bercadang memperkasa lagi konsep agrotourism ini dengan menjadikan lawatan ke sarang kelulut sebagai satu pakej lengkap di mana pengunjung boleh merasa madu segar, menikmati buah-buahan tempatan dan membeli produk kampung pada harga berpatutan,” katanya.
Antara aktiviti mendapat sambutan ialah gotong-royong memperkenalkan menu tradisi masyarakat kampung seperti kerepek pisang serta juadah warisan yang disediakan bersama pelancong.
Inisiatif itu, ujarnya, membuka peluang pendapatan baharu kepada wanita kampung dan ahli kariah.
“Melalui usaha ini, mereka boleh memperoleh pendapatan kasar mencecah empat angka sebulan bergantung kepada jumlah pelancong yang hadir,” katanya.
Selain tarikan madu kelulut, Kampung Menderang turut mempunyai Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, pusat perlindungan kepada Harimau Malaya, beruang matahari, tapir dan seladang.
Ia turut menempatkan sebuah pondok pengajian agama yang dikunjungi ribuan penuntut dari seluruh negara.
Mohd. Suhaili turut merakam penghargaan kepada Jabatan Pertanian Perak, Majlis Daerah Tapah (MDT) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Muallim atas peranan besar mereka dalam membantu membangunkan infrastruktur asas dan promosi.
“Pihak MDT dan PDT Muallim sentiasa turun padang bagi memastikan kawasan ini sentiasa terjaga dan kemudahan awam seperti jalan serta utiliti berada pada tahap terbaik untuk pelancong,” katanya.
Malah, kedua-dua agensi itu turut merancang mengadakan aktiviti dalaman dan promosi bersama agensi kerajaan lain di Perak sebagai usaha memperluas potensi agrotourism di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) mempelawa pengusaha madu kelulut Kampung Menderang menyertai ekspo dan pameran di seluruh negeri bagi memperkenalkan produk mereka kepada pasaran lebih luas.
Perkembangan positif itu jelas selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian, perniagaan dan perkhidmatan sebagai teras ekonomi daerah Muallim.
Inisiatif tersebut turut menepati Flagship Pertama pelan berkenaan iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) serta Flagship Kesepuluh, Ekonomi Pengalaman, yang menjadi tunjang kepada visi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemampanan dan kesejahteraan rakyat.
Dengan kombinasi pelancongan, pendidikan, serta hasil tani berkualiti, Kampung Menderang kini bukan sekadar perkampungan biasa di pinggir Banjaran Titiwangsa, sebaliknya menjadi simbol transformasi ekonomi desa berasaskan komuniti yang berjaya mencipta peluang baharu untuk penduduk luar bandar dan menarik minat pelancong dalam dan luar negara. – UTUSAN










