KUALA LUMPUR: Olahraga Malaysia (MA) akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Tadbir Urus dan Integriti yang bertindak secara bebas dengan dianggotai pakar luar serta bekas atlet.
Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata, jawatankuasa tersebut bertujuan memperkukuh kepercayaan serta menguatkan akauntabiliti olahraga Malaysia.
Katanya, jawatankuasa berkenaan akan menyemak proses dalaman persekutuan, garis panduan integriti dan tadbir urus agar sejajar dengan standard Olahraga Dunia.
“Tadbir urus yang baik ialah tulang belakang kepada mana-mana sukan yang berjaya. Kami juga mengalu-alukan semakan bebas kerana institusi yang kukuh perlu dibina atas asas ketelusan, keadilan dan akauntabiliti,” katanya di sini hari ini.
Karim memberitahu, pada masa ini, keutamaan beliau termasuk menstabilkan struktur kejurulatihan, memperluas sistem sokongan atlet dan mempersiapkan atlet Malaysia untuk kejohanan serantau dan antarabangsa akan datang.
Dalam pada itu, Karim berkata, proses pindaan perlembagaan terakhirnya telah melalui tiga pusingan perbincangan di peringkat majlis, sebelum diterima sebulat suara dalam mesyuarat agung tahunan 2024 dan kemudian diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
Sepanjang keseluruhan perbincangan dan proses membuat keputusan tersebut, Karim bukan ahli majlis MA dan langsung tidak terlibat dalam proses pindaan tersebut.
“Kita akan terus menghormati semua prosiding undang-undang yang sedang berlangsung dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan. Saya sedar akan penelitian ini dan saya terima bahawa ia datang bersama tanggungjawab memimpin sebuah badan sukan kebangsaan.
“Masa lalu saya, sama ada cabaran mahupun sumbangan adalah sebahagian daripada perjalanan karier dalam olahraga Malaysia. Saya tidak menjauhkan diri daripadanya dan segala pengajaran yang saya peroleh terus membimbing cara saya memimpin hari ini,” katanya
Sementara itu, Karim juga menafikan beliau digantung seumur hidup oleh Olahraga Dunia sebagai mana didakwa sesetengah pihak.
“Ia adalah tuduhan palsu dan saya akan mempertahankan hak dalam soal tersebut. Pada tahap kerjaya kini, fokus bukan lagi terhadap diri sendiri sebaliknya ingin memanfaatkan beberapa tahun mendatang dengan memberi sumbangan kepada pembangunan sukan olahraga Malaysia.-UTUSAN










