GEORGE TOWN : Penghadang plastik telah dipasang sebagai langkah mitigasi awal bagi mencegah sebarang kemalangan daripada berlaku susulan insiden lubang benam di Sungai Ara, Bayan Lepas, petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, bagaimanapun, penutupan Jalan Kenari sejak malam tadi susulan insiden itu masih berkuatkuasa sehingga tengah hari ini.
Beliau berkata, ekoran penutupan jalan tersebut, aliran trafik kini telah dialihkan ke Jalan Sungai Ara 1, Jalan Persiaran Relau dan Jalan Kedidi di sini.
“Pihak utiliti iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Indah Water Konsortium (IWK), telah berada di tapak untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sistem perpaipan di bawah seliaan mereka.
“Ketika ini, kerja-kerja siasatan dan pemantauan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca serta tindakan susulan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya di sini, hari ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.40 petang itu menyebabkan satu lubang besar berukuran lima meter panjang, 3.5 meter lebar serta 1.9 meter dalam terbentuk sehingga mengundang kebimbangan penduduk setempat khususnya pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, Zairil berkata, kerajaan negeri mengambil maklum bahawa penutupan jalan tersebut memberi kesan kepada aliran trafik setempat.
Justeru, beliau memohon kesabaran dan kerjasama daripada semua pengguna jalan raya sementara agensi-agensi yang terlibat berusaha gigih menyelesaikan isu ini dengan secepat mungkin demi keselamatan orang awam.-UTUSAN










