Lubang benam: Jalan raya di Pulau Pinang tidak selamat?

Lubang benam: Jalan raya di Pulau Pinang tidak selamat?

ANTARA kejadian lubang benam di Pulau Pinang baru-baru ini..
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Struktur jalan raya di Pulau Pinang mungkin boleh dikategorikan sebagai tidak selamat andai insiden lubang benam terus berlaku pada masa hadapan.

Jurucakap Pertubuhan Ja­ringan Ekologi dan Iklim (JEDI), Andrew Han berkata, beberapa insiden lubang benam dalam tempoh kurang dua bulan di negeri itu, boleh dianggap sebagai ‘amaran’ yang perlu diberi lebih perhatian oleh semua pihak.

“Kini tahap jalan raya di Pulau Pinang mungkin berada dalam kategori membimbangkan kerana, kalau dulu, pengguna jalan raya hanya risau akan banjir dan tanah runtuh (sahaja), tetapi, kini ada pula insiden lubang benam,” katanya.

Han berkata, kerajaan negeri serta pihak berkuasa yang terlibat sepatutnya lebih agresif memeriksa jalan dan sistem perpaipan bawah tanah.

Katanya, dengan tengkujuh yang dilihat semakin ekstrim, insiden seumpama itu seperti wake up call untuk lebih bersiap siaga andai berlaku malapetaka lebih besar.

“Saya menyarankan prosedur pemeriksaan jalan dan paip bawah tanah diwujud dan dilaksanakan secara bermusim.

“Ini lebih kepada pertimba­ngan sebelum membina jalan baharu di Pulau Pinang. Adakah kita bersedia dan berkemam­puan untuk menyelenggara serta mengawal selia begitu banyak jalan? (Jadi) mungkin kita perlu hadkan pembinaan jalan di sini (Pulau Pinang),” katanya.

Petang kelmarin insiden lubang benam berukuran lima meter panjang, 3.5 meter lebar serta 1.9 meter dalam terbentuk di Jalan Kenari, Sungai Ara sehingga mengundang kebimbangan penduduk setempat khususnya pengguna yang melalui jalan berkenaan.

September lalu, kejadian hampir sama berlaku di Jalan Burma, George Town dipercayai berpunca daripada paip pembetungan.

Bagaimanapun kerja pembaikan ketika itu siap lebih awal berbanding jadual.

Han percaya insiden lubang benam kali ini turut berpunca daripada kerosakan infrastruktur bawah tanah.

“Fenomena perubahan iklim yang menunjukkan tren pe­ningkatan hujan tahunan juga menjadi punca, kerana terjadi hakisan bawah tanah dan kerosakan paip dan saliran akibat peningkatan hujan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN