GEORGE TOWN : Jalan Kenari di Sungai Ara, Bayan Lepas di sini yang ditutup sepenuhnya susulan kejadian lubang benam Selasa lalu dijangka dibuka semula kepada pengguna jalan raya pada 10 November ini tertakluk kepada keadaan semasa di tapak.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, pembukaan semula jalan itu bagaimanapun hanya akan dibuat selepas pihak berkuasa memastikan bahawa tahap keselamatan awam benar-benar terjamin.
“Ketika ini, kerja-kerja siasatan masih dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang bersama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Indah Water Konsortium (IWK) bagi mengenal pasti lokasi sebenar kebocoran paip yang dipercayai menjadi punca kejadian,” katanya.
Terdahulu, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.40 petang itu menyebabkan satu lubang besar berukuran lima meter panjang, 3.5 meter lebar serta 1.9 meter dalam terbentuk sehingga mengundang kebimbangan penduduk setempat khususnya pengguna jalan raya.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, siasatan awal mendapati, terdapat aliran air bawah tanah yang dipercayai menyebabkan berlakunya mendapan jalan tersebut yang terletak berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara itu.
Justeru katanya, PBAPP akan menjalankan ujian bagi mengesan punca kebocoran dengan lebih tepat, manakala IWK akan melaksanakan kerja-kerja pengukuhan saliran paip di bawah seliaan mereka selepas PBAPP menyiapkan siasatan teknikal.
Dalam perkembangan berkaitan, Zairil turut menafikan dakwaan bahawa kejadian lubang benam itu disebabkan oleh projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
“Kejadian ini tidak ada kaitan dengan projek LRT. Ia berlaku disebabkan oleh masalah paip yang uzur dan lama. Sebenarnya, perlu digantilah untuk penyelesaiannya. Cuma, penggantian itu pasti mengambil masa serta melibatkan kos yang tinggi,” ujar beliau.-UTUSAN










