Lelaki mengaku rogol, liwat, amang seksual anak tiri - Utusan Malaysia

Lelaki mengaku rogol, liwat, amang seksual anak tiri

PEMANDU jentera berat (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas 11 pertuduhan membabitkan kesalahan seksual terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 14 tahun. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang pemandu jentera berat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan membabitkan kesalahan seksual termasuk merogol, meliwat dan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 14 tahun.

Pengakuan bersalah itu dibuat tertuduh berusia 41 tahun selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Gan Peng Kun.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, bapa kepada empat anak itu didakwa merogol mangsa di mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Haji Mohamad, Selekoh dalam daerah Bagan Datuk pada 5 dan 25 September serta 7 dan 29 Oktober 2025.

Pertuduhan terhadap lelaki terbabit dijalankan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa untuk tiga pertuduhan masing-masing bagi kesalahan dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu meliwat dan amang seksual fizikal terhadap mangsa di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan meliwat, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan

Manakala bagi kesalahan amang seksual fizikal, pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa memiliki 20 video pornografi kanak-kanak di dalam sebuah telefon bimbit jenama Oppo berwarna hitam miliknya di lokasi sama pada pukul 12.15 tengah hari, 11 November 2025.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, mengambil kira pengakuan bersalah yang dibuat serta seriusnya kesalahan tersebut memandangkan mangsa merupakan anak tiri lelaki berkenaan.

Tertuduh melalui peguam bela, Francis Sinnappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak memohon sebarang ikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh untuk pembentangan fakta kes dan hukuman. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN