MELAKA: Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika berada di atas siling sebuah rumah di Taman Bukit Larang Indah, di sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa berusia sekitar 40-an dilaporkan pengsan sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di atas struktur siling kediaman berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Shahrom Laji, berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 9 malam, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu bergegas ke lokasi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO), didapati benar terdapat seorang mangsa pengsan akibat renjatan elektrik berada di atas siling.
“Anggota kemudian menjalankan kerja menurunkan mangsa dari bahagian siling sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian. – UTUSAN








