KUALA LUMPUR: Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE2) sepanjang 6.4 kilometer (15 kilometer panjang termasuk tanjakan) yang menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana dijangka menjadi penyelesaian strategik bagi meredakan kesesakan di ibu negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, NPE2 dijangka mengalihkan kira-kira 200,000 buah kenderaan atau 40 peratus aliran trafik dari Jalan Bangsar ke pusat bandar.
Menurutnya, projek itu akan menjimatkan masa perjalanan sehingga 25 minit bagi pengguna dari Bangsar atau Mid Valley ke Subang Jaya.
“Pembangunan bernilai RM1.7 bilion itu dibiayai sepenuhnya oleh New Pantai Expressway Sdn. Bhd. tanpa sebarang peruntukan kerajaan.
“Projek ini menjadi bukti keberkesanan model perkongsian awam-swasta (PPP) dalam menyediakan infrastruktur strategik yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Sambungan NPE2 di ibu negara, hari ini.
Selain itu, Nanta berkata, inisiatif tersebut turut menjadi sebahagian daripada Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040, yang menyasarkan penyuraian trafik secara mampan melalui sambungan langsung antara lebuh raya tanpa perlu melalui pusat bandar.
Beliau berkata, projek NPE2 telah mendapat kelulusan penuh Jemaah Menteri pada Mei 2025, selepas melalui proses penilaian menyeluruh membabitkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Fasa pembinaan projek telah bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada 2029, manakala operasi dijadualkan bermula pada 2030.
Antara ciri utama lebuh raya baharu itu termasuk sistem tol Multi-Lane Fast Flow (MLFF), pemantauan CCTV bersepadu, lampu pintar, kemudahan pengecasan pantas kenderaan elektrik (EV) serta penambahbaikan di Plaza Tol Pantai Dalam dan Syed Putra. – UTUSAN










