Lebih 5.5 juta saman tertunggak belum dijelaskan - Anthony Loke

Lebih 5.5 juta saman tertunggak belum dijelaskan – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 5,538,038 saman tertunggak dikesan masih belum dijelaskan oleh pengguna jalan raya setakat ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keseluruhan saman tertunggak itu melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan termasuk saman kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) serta notis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Jumlah itu merangkumi 1,387,384 saman AwAS, 3,685,164 notis JPJ P(22), 297,382 saman melibatkan notis 114 (berkaitan ubah suai kenderaan), 161,699 bagi notis 115 (pemeriksaan kenderaan) dan 6,409 notis Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (ALPKP),” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.

Beliau menyeru semua pengguna jalan raya yang mempunyai saman tertungguk supaya mengambil peluang untuk menjelaskan saman masing-masing sebelum 30 Disember ini.

Katanya, ini kerana selepas 1 Januari tahun hadapan, mana-mana saman yang masih belum dijelaskan bakal berdepan tindakan tegas.

“Kalau ada yang perlu ke mahkamah, dia akan ke mahkamah dan yang tak perlu ke mahkamah kita akan terus senarai hitam. Maksudnya selepas 1 Januari kalau masih ada saman tertunggak yang belum dijelaskan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) mereka akan disenarai hitamkan dan tidak boleh diperbaharui kerana kita akan integrasi melalui sistem MySikap.

“Jadi saya nak beri peringatan supaya tempoh dua bulan ini digunakan untuk menyelesaikan semua saman tertunggak kerana JPJ hanya kutip 50 peratus sahaja jumlah kompaun. Pada tahun hadapan, kita akan mulakan dengan polisi baharu di mana semua saman-saman tertunggak yang masih belum diselesaikan lagi akan dikenakan tindakan senarai hitam,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada menawarkan diskaun sehingga 70 peratus bagi bayaran saman, namun JPJ masih mengekalkan kadar diskaun mereka sebanyak 50 peratus.

“Sejak Januari kita sudah tawarkan kadar kompaun 50 peratus, kalau sekarang kita bagi 70 peratus diskaun, adalah tidak adil kepada mereka yang sudah bayar (sebelum ini) jadi kita kekalkan dengan 50 peratus.

“Tetapi apa yang membezakannya? Sebelum ini diskaun 50 peratus ini hanya untuk tiga jenis saman iaitu AwAS dan juga Notis 114 dan 115, tetapi kali ini kita perluaskan kepada saman-saman lain di bawah pelbagai kesalahan iaitu notis JPJ P(22) yang jumlahnya mencecah 3.6 juta saman,” katanya.

Pada 27 Oktober lalu, media melaporkan, pengguna jalan raya diberi tempoh dua bulan untuk menjelaskan saman tertunggak JPJ dengan diskaun sebanyak 50 peratus bermula 1 November sehingga 30 Disember ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, diskaun tersebut terpakai untuk semua jenis saman kecuali yang tidak boleh dikompaun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN