PETALING JAYA: Situasi banjir semakin buruk dengan seramai 30,056 mangsa banjir dicatatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara. Setakat 9 pagi semalam seramai 27,000 mangsa namun pada 7 petang semalam angka meningkat ke 30,056 mangsa membabitkan 10,008 keluarga dengan 189 PPS beroperasi di 33 daerah.
Laporan situasi terkini Pusat Pengurusan Bencana Negara setakat pukul 7 petang semalam, tujuh negeri terjejas adalah Kelantan, Perlis, Perak, Selangor, Kedah, Terengganu, dan Pahang dengan trend keseluruhan menunjukkan peningkatan berterusan, khususnya di kawasan utara dan Pantai Timur.
Setakat ini, Kelantan kekal negeri paling teruk terjejas dengan 10,589 mangsa dan 61 PPS beroperasi di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
Sementara itu, Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,797 orang, walaupun dilaporkan trend menurun di kawasan itu. Namun Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh mencatatkan peningkatan jumlah mangsa.
Di Perlis pula, sebanyak 6,593 mangsa ditempatkan di 21 PPS negeri itu, dengan jumlah terus meningkat.
Beberapa jalan di Kangar, Padang Besar, Mata Ayer dan kawasan lain kekal ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya akibat banjir atau tanah runtuh.
Di Perak, 4,700 mangsa ditempatkan di 44 PPS, dengan trend meningkat di Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk dan beberapa daerah lain.
Manjung merekodkan 1,897 mangsa, dengan beberapa jalan ditutup akibat tanah runtuh dan banjir kilat.
Selangor merekodkan 2,409 mangsa di 15 PPS, terutamanya di Kuala Selangor, Klang, Petaling dan Sabak Bernam. Walaupun trend keseluruhan stabil, beberapa laluan termasuk sebahagian Jalan Robinson, Jalan Harmoni dan Persiaran Puncak Alam ditutup sementara akibat banjir.
Kedah mencatat 3,339 mangsa, kebanyakannya di Kubang Pasu dengan semua 15 PPS aktif.
Terengganu merekodkan 2,416 mangsa, majoritinya di Besut dan Marang dengan trend meningkat di Besut.
Di Pulau Pinang, Seberang Perai Tengah merekodkan 50 mangsa, manakala Pahang mencatat 42 mangsa di Raub dan Lipis.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan beberapa amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang termasuk di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor Timur, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Perak dan Pahang berada di bawah amaran hujan berterusan, dengan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan diletakkan di bawah kategori tertinggi (Hujan Sangat Lebat Berterusan, Bahaya).
Data pemantauan sungai menunjukkan paras air meningkat di beberapa sungai utama di Kelantan (Sg Semerak, Sg Golok, Sg Kelantan) dan Johor (Sg Batu Pahat). Perlis dan Terengganu turut menunjukkan keadaan bercampur, dengan beberapa stesen merekodkan peningkatan. – UTUSAN










