IPOH: Kerajaan negeri menerusi Lembaga Air Perak (LAP) telah membelanjakan hampir RM32 juta untuk pelaksanaan subsidi air percuma dan pemberian rebat bil utiliti air, sehingga Oktober tahun ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan kedua-dua inisiatif strategik itu merupakan usaha LAP mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, subsidi air percuma diberikan kepada golongan miskin dengan kadar 25 meter padu air sebulan atau bersamaan dengan kadar RM20.40.
“Subsidi air percuma disalurkan kepada golongan miskin dan termiskin yang berdaftar serta menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ,Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Selain itu, rebat bil air sebanyak RM4 sebulan turut diberikan kepada semua pengguna akaun domestik di negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan lisan Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) pada Persidangan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa komited menilai keperluan semasa bagi menambah baik bantuan mengikut keperluan, khusus masyarakat B40 di bandar dan luar bandar.
Ujarnya, sebarang usaha kepada peluasan skim bantuan adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan negeri serta komitmen dasar semasa.
“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri komited memastikan hasil negeri dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Perak.
“Ia dengan penekanan terhadap penyelarasan antara jabatan dan agensi pelaksana supaya agihan bantuan dilaksanakan secara adil, tidak bertindih dan tepat kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Berhubung usaha meringankan beban rakyat, peruntukan bagi Kad Perak Sejahtera ditingkatkan daripada RM24 juta kepada RM24.5 juta selain Program Bantuan Kotak Makanan yang meningkat sebanyak RM1 juta iaitu RM5 juta kepada RM6 juta.
Selain itu, menurutnya, memperkenalkan peruntukan baharu bagi Program Sayangi Rumahku sebanyak RM3 juta sebagai dana pusingan di bawah Yayasan Perak bagi membantu keperluan perumahan rakyat dengan kos mampu milik. – UTUSAN










