Landskap penyumbang baharu pendapatan Sabah

Landskap penyumbang baharu pendapatan Sabah

JOACHIM Gunsalam (duduk tiga kanan) bergambar bersama-sama yang hadir pada majlis perasmian SLAF 2025. - HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Industri landskap berpotensi besar untuk menjadi penyumbang baharu kepada pendapatan Sabah menerusi pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi yang akan diperkenalkan mengikut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, kementeriannya menyenaraikan beberapa projek landskap utama di daerah tumpuan ekonomi seperti Putatan, Kuala Penyu, Sandakan dan Kudat dalam memperkasa keindahan, kesejahteraan serta keterampilan kawasan pusat perniagaan utama (CBD) di negeri ini.

“Projek itu akan menjadi pemangkin kepada peningkatan imej bandar, selain memperkukuh keupayaan perkhidmatan landskap bawah pihak berkuasa tempatan.

“Ia selaras matlamat kerajaan negeri dalam mewujudkan persekitaran mampan, indah dan mesra komuniti,” katanya merasmikan Sabah Landscape Architecture Festival (SLAF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

SLAF berlangsung lima hari merangkumi seminar antarabangsa, pameran serta aktiviti komuniti di Taman Awam Teluk Likas.

Beliau berkata, SLAF menjadi platform penting untuk mempamerkan potensi besar sektor landskap sebagai industri bernilai tambah yang bukan sahaja memperindahkan kawasan bandar, tetapi menyumbang kepada ekonomi negeri menerusi pembangunan taman awam, ruang hijau dan pelancongan lestari.

Katanya, landskap tidak lagi dilihat sekadar pelengkap atau komponen akhir dalam pembangunan, sebaliknya menjadi asas dalam perancangan bandar, perumahan, pelancongan dan penjagaan sumber semula jadi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN