Laluan utama dinaiki, murid SK Sungai terpaksa naik bot pulang dari sekolah

Laluan utama dinaiki, murid SK Sungai terpaksa naik bot pulang dari sekolah

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Laluan utama di Kampung Sungai Serai, di sini, dinaiki air selepas hujan berterusan sejak semalam sehingga memaksa penduduk menggunakan bot untuk pulang ke rumah.

Seorang murid lelaki yang menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, kejadian ini bukan sesuatu yang luar biasa bagi mereka.

“Kami sudah biasa, sebelum ini pun pernah naik bot balik rumah,” ujarnya.

Tinjauan di lokasi mendapati puluhan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai, di sini, dibawa dengan kenderaan JBPM dan trak polis dari sekolah ke kampung berkenaan untuk pulang ke rumah masing-masing pada pukul 2.30 petang tadi.

Difahamkan, murid yang dibenarkan pulang adalah mereka yang kediamannya tidak terjejas banjir namun terkandas kerana lalu dinaiki air dan kenderaan tidak dibenarkan melalui kawasan terbabit. 

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran SK Sungai Serai, Mohd Fazly Zakaria berkata, dianggarkan kira-kira 150 murid berusia tujuh hingga 12 tahun yang terpaksa menggunakan bot untuk pulang ke rumah masing-masing kerana laluan pulang mereka dinaiki air akibat banjir. 

Katanya, sesi persekolahan tamat pada pukul 12.40 tengah hari tadi dan pihaknya mengambil insiatif menghantar murid yang rumahnya tidak terjejas banjir pulang dengan bantuan pihak berkuasa. 

“Selalunya murid akan diambil waris masing-masing atau pulang dengan bas sekolah tetapi apabila banjir laluan akan ditutup dan sebab itu kami ambil inisiatif menghantar mereka dari sekolah dan selepas itu mereka akan menaiki bot untuk pulang ke rumah. 

“Ibu bapa murid akan menunggu mengambil anak mereka yang dihantar menggunakan bot pihak bomba, polis dan persendirian. Tahun ini sudah beberapa kali membantu hantar murid ke sini,” jelasnya.

Katanya, pihak sekolah peka dengan maklumat semasa dan sentiasa berhubung dengan ibu bapa dan guru kelas juga memberi perkembangan murid kepada ibu bapa. 

“Kami mahu memastikan keselamatan murid dalam situasi bencana seperti ini,”jelasnya.

Katanya, mana-mana murid yang keluarganya sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akan ke PPS. 

Menurutnya, pihaknya menjangkakan lima trip perjalanan untuk menghantar murid ke laluan pulang sebelum mereka akan dibawa menggunakan bot untuk pulang ke rumah kira-kira 500 meter dari laluan yang ditutup. 

Difahamkan, antara kawasan tidak terjejas banjir membabitkan  Dusun Nanding, Taman Perkasa dan beberapa kawasan lain.

Ketika ini mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sungai Serai di SK Sungai Serai membabitkan 55 mangsa daripada 23 keluarga setakat pukul 3 petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN