PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di lapan negeri mencatatkan penurunan kepada 11,917 orang tengah hari ini berbanding 16,080 orang dilaporkan semalam berikutan keadaan cuaca yang semakin baik.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), semua mangsa yang membabitkan 3,778 keluarga itu masih berlindung di 156 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.
Setakat ini, Perak masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,305 mangsa membabitkan 1,306 keluarga yang ditempatkan di 27 buah PPS.
Antara daerah yang masih aktif menempatkan mangsa-mangsa terjejas termasuk Hilir Perak, Perak Tengah, Bagan Datuk, Manjung, Larut, Malatang dan Selama.
Manakala jumlah mangsa di Perlis pula seramai 2,855 orang membabitkan 1,055 keluarga, diikuti Selangor (2,473), Terengganu (761), Kelantan (748), Pahang (471), Kedah (282), Sarawak (14) dan Kuala Lumpur (8) yang menunjukkan penurunan ketara di semua negeri.
Menurut JKM, seramai 1,746 mangsa terdiri daripada warga emas dan 399 pula ialah kanak-kanak termasuk 4,045 bayi serta mangsa Orang Kurang Upaya (OKU) pula seramai 399 orang.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) memaklumkan, beberapa sungai dan empangan mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Empangan Timah Tasuh di Perlis, Sungai Slim dan Sungai Bidor (Perak), Sungai Paka (Terengganu) dan Pintu Air Ijok (Selangor). – UTUSAN










