KUALA LUMPUR: Seramai 14,040 mangsa banjir daripada 4,518 keluarga masih berlindung di 171 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri setakat pukul 7 pagi tadi, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Perak terus menjadi negeri paling terjejas dengan 4,626 mangsa melibatkan 1,412 keluarga ditempatkan di 30 PPS.
Ia diikuti Perlis yang merekodkan 3,050 mangsa (1,148 keluarga) di 22 PPS manakala Selangor mencatat 2,711 mangsa (753 keluarga) di 30 PPS.
Jumlah mangsa di negeri lain turut menunjukkan peningkatan dengan Terengganu merekodkan 1,774 mangsa daripada 555 keluarga yang ditempatkan di 50 PPS.
Di Kelantan pula seramai 898 mangsa (307 keluarga) berada di lima PPS manakala Pahang menempatkan 601 mangsa membabitkan 208 keluarga di 18 PPS.
Kedah turut mencatat 303 mangsa daripada 90 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS, sementara Negeri Sembilan merekodkan 77 mangsa daripada 45 keluarga di dua PPS.
JKM memaklumkan, daripada keseluruhan mangsa, 2,101 ialah warga emas, 4,745 merupakan kanak-kanak termasuk 375 bayi manakala 499 lagi ialah orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, laporan Public Infobanjir menunjukkan beberapa sungai dan empangan masih berada pada paras bahaya atau mencatat trend menaik.
Antaranya Empangan Timah Tasoh di Perlis, Sungai Slim dan Sungai Bidor di Perak, Pintu Air Ijok di Selangor, Cheng U/S dan Sungai Siput di Melaka, Sungai Paka di Terengganu serta Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan.
Secara keseluruhan, paras air di Perlis, Perak, Selangor, Melaka, Pahang dan Terengganu berada pada tahap bahaya manakala Johor, Kelantan dan Sarawak direkodkan pada paras amaran.
Walaupun keadaan cuaca bertambah baik di banyak kawasan semalam, pihak berkuasa tetap mengingatkan orang ramai supaya kekal berwaspada berikutan beberapa sungai utama masih berisiko untuk melimpah. – UTUSAN










