SHAH ALAM: Seramai 2,000 hingga 3,000 kru KDEB Waste Management (KDEBWM) digerakkan bagi melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir di beberapa kawasan terjejas di Selangor susulan air yang mula surut sejak semalam.
Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir, berkata operasi pembersihan kini berlangsung serentak di Sabak Bernam, Klang, Shah Alam, Padang Jawa, Taman Sri Muda, Kajang dan Hulu Langat.
“Kita faham kesan banjir terhadap penduduk. Sebab itu kita kerahkan semua tenaga termasuk 320 pegawai pemantau dan kru tambahan supaya setiap aduan dapat diselesaikan segera,” katanya selepas Majlis Pelancaran serta Penyerahan Lori Operasi SELKitar Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Ramli berkata, tumpuan awal diberikan kepada barangan rosak seperti perabot, tilam dan sampah banjir yang sudah dikeluarkan ke luar rumah untuk memudahkan proses kutipan.
“Kita akan kutip semua barangan yang diletakkan di luar rumah dan hantar ke pusat pemprosesan di Jeram atau Tanjung 12. Pasukan operasi kita siap siaga untuk menyelesaikan kerja ini secepat mungkin,” katanya.
KDEBWM turut menyusun semula jadual operasi bagi memastikan kapasiti lori digunakan sepenuhnya di kawasan paling terjejas.
“Kalau lori tidak mencukupi di Shah Alam, Kajang atau Klang, kita akan tarik lori dari kawasan lain bagi menyegerakan kutipan sampah pukal, sampah banjir dan barangan rosak,” katanya. – UTUSAN










