NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi keutamaan terhadap usaha untuk meningkatkan akses pendidikan bagi anak-anak Sabah khususnya yang bersekolah di kawasan pedalaman di negeri itu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini, Sabah merupakan antara negeri yang menerima peruntukan tertinggi khususnya dari segi dana untuk menaik taraf sekolah-sekolah yang daif serta pembinaan sekolah baharu.
“Kebetulan, minggu lepas saya berada di Sabah untuk melihat perkembangan di SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Trus Madi di Tulid, Sabah dan saya lihat bahawa, dari segi infrastrukturnya, kita sedang memberi tumpuan kepada mereka (Sabah).
“Tumpuan ini termasuk keperluan untuk mendapatkan bantuan pendidikan, asrama-asrama desa dan sebagainya untuk memastikan akses pendidikan kepada anak-anak ini dapat kita tangani selain memastikan juga bahawa anak-anak ini dapat ke sekolah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap di sini yang disempurnakan oleh Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus, hari ini.
Difahamkan, SMK Trus Madi yang dibina dengan kos melebihi RM50 juta itu kini hampir siap dan dijangka dibuka pada sesi persekolahan baharu bermula tahun depan.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, antara program yang sedang berjalan bagi membantu anak-anak Sabah ialah Projek Kelas Khas atau ProKhas di Kampung Serudong Laut di Tawau, Sabah.
“Kita akan bangunkan sebuah sekolah (di sana). InsyaAllah, kerana ada keperluan pendidikan dan anak-anak di situ ada yang terpinggir sebelum ini, tidak mendapat pendidikan dan sebagainya.
“Jadi, tumpuan pendidikan di Sabah ini ada keutamaannya seperti untuk sekolah yang daif serta membangunkan sekolah-sekolah di kawasan-kawasan yang terpinggir termasuk di pedalaman dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, usaha dan inisiatif untuk akses pendidikan itu akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa bagi memastikan ia mampu dicapai sekali gus memastikan tiada siapa yang akan terpinggir daripada mendapat pendidikan yang sempurna.-UTUSAN










