KPDN perluas program Pasar Patuh di 29 pasar awam Kuala Lumpur

KPDN perluas program Pasar Patuh di 29 pasar awam Kuala Lumpur

MOHD. Sabri Seman (tengah) pada majlis Program Pasar Patuh di Pasar Awam Sungai Besi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 29 buah pasar awam di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjadi tumpuan pelaksanaan program Pasar Patuh mulai tahun depan.

Langkah itu susulan kejayaan projek rintis program tersebut di Pasar Awam Sungai Besi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, perkara tersebut juga bagi memperkukuh budaya pematuhan perniagaan dan mengembalikan keyakinan pengguna terhadap pasar tradisional.

“Pasar Sungai Besi dipilih sebagai lokasi rintis kerana berdepan kemerosotan jumlah pengunjung serta memerlukan penambahbaikan menyeluruh terhadap fasiliti dan pengurusan pasar.

“Program ini dilaksanakan sejak enam bulan lalu sebagai fasa percubaan. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai peningkatan berjaya direalisasikan.

“Ia termasuk penandaan harga yang lebih jelas, penggunaan alat timbang tepat serta pengukuhan aspek kebersihan pasar yang selama ini menjadi isu utama dalam operasi harian,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Sungai Besi hari ini.

Katanya, berlaku peningkatan ketara terhadap tahap keyakinan pengguna untuk kembali membeli-belah di pasar berkenaan hasil penambahbaikan yang menyeluruh dan suasana berniaga yang lebih kondusif.

“Dengan kejayaan itu, Sungai Besi dijadikan model bagi peluasan Program Patuh ke pasar-pasar lain di sekitar Kuala Lumpur, sekali gus menjadi penanda aras baharu kepada standard pematuhan pasar awam.

“Bermula Januari 2026, KPDN menyasarkan pelaksanaan penuh Program Patuh di kesemua 29 pasar awam di ibu negara secara berperingkat menggunakan pendekatan sama seperti di Sungai Besi. Langkah ini dijangka memberi manfaat besar kepada ratusan peniaga dan ribuan pengguna setiap hari,” katanya.

Menurut Mohd. Sabri, program Pasar Patuh bukan sahaja bertujuan memperkukuh penguatkuasaan, tetapi juga berfungsi sebagai platform pendidikan kepada pengguna dan peniaga mengenai kepentingan mematuhi undang-undang serta pembudayaan kawalan kendiri dalam operasi perniagaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN