PETALING JAYA: Komitmen kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan di Malaysia disifatkan belum memadai tanpa bukti terperinci dan langkah penyelarasan yang jelas antara kerajaan negeri serta persekutuan.
Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pelaksanaan di peringkat negeri dan lapangan masih menunjukkan ketidaktegasan dalam melindungi kawasan hutan, terutama apabila berdepan pencerobohan untuk tujuan pertanian dan pembinaan struktur haram.
Beliau berkata, komitmen kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan di Malaysia dilihat belum menggambarkan realiti sebenar di lapangan, khususnya melibatkan kawasan perlindungan seperti Hutan Simpanan Kekal (HSK), Rizab Hidupan Liar (RHL) dan santuari alam semula jadi.
“Walaupun Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri-Negeri dilihat tegas membanteras aktiviti pembalakan haram, penguatkuasaan terhadap pencerobohan kawasan HSK dilihat agak longgar dan tidak seimbang.
“Statistik rasmi keluasan hutan yang diterbitkan oleh agensi berkaitan dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam juga didakwa tidak sepenuhnya mencerminkan keluasan hutan asli sebenar, kerana turut merangkumi kawasan ladang monokultur di bawah Zon Pembangunan Ladang Hutan (ZPLH), kawasan perlombongan, pengkuarian dan guna tanah lain dalam HSK.
“Amalan pembangunan ladang hutan berskala besar dalam HSK menimbulkan kebimbangan kerana aktiviti tebang habis bagi tujuan monokultur menyebabkan kehilangan litupan hutan asal serta mengancam fungsi ekologi dan kepelbagaian biologi hutan tropika negara.
Bagi memastikan sasaran pengekalan 50 peratus kawasan berhutan benar-benar tercapai, kerajaan negeri disaran memperkukuh komitmen dan pelaksanaan dasar, antaranya dengan mengehadkan pembangunan ladang monokultur kepada kawasan tanah kerajaan dan tanah terbiar seperti bekas lombong atau tanah pertanian yang tidak diusahakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), Zikrullah Ismail berkata, walaupun angka 50 peratus sering diulang sebagai penanda aras kelestarian negara namun realiti di lapangan menunjukkan wujud paradoks antara dasar yang diumumkan dan tindakan sebenar pihak berkuasa.
“Kelemahan penyelarasan antara negeri dan persekutuan menjadi punca utama ketidaktentuan dalam pengurusan hutan, terutama apabila dasar perhutanan berbeza-beza mengikut kepentingan ekonomi negeri masing-masing.
“Dakwaan bahawa keluasan hutan negara kekal pada tahap minimum 50 peratus perlu dibuktikan dengan data saintifik dan pemetaan yang telus. Apa yang berlaku kini lebih kepada angka umum tanpa perincian jelas tentang jenis hutan yang dimaksudkan.
“Takrif ‘hutan’ yang digunakan dalam laporan rasmi mungkin merangkumi kawasan yang tidak menepati ciri ekosistem hutan semula jadi, termasuk ladang monokultur atau kawasan tanaman semula, yang tidak menyumbang kepada keseimbangan flora dan fauna.
“Hanya hutan sebenar yang mengekalkan ekosistem flora dan fauna mampu menjamin perkhidmatan ekosistem negara seperti kitaran air, biodiversiti dan kestabilan iklim. Namun, konsep ini sukar difahami dalam sistem ekonomi konvensional yang masih cenderung ke arah eksploitasi sumber,” katanya.
Terdahulu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, Malaysia kekal komited mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan tanah sebagai kawasan berhutan, dengan tahap semasa sekitar 54 peratus meliputi hutan simpan serta kawasan perlindungan. – UTUSAN








