PETALING JAYA: Pejabat daerah dan tanah digesa memperketatkan syarat nyata pemilikan tanah selain memantau kawasan-kawasan sensitif alam sekitar supaya tidak berlaku kejadian salah guna tanah.
Pegawai lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kawasan sekitar Genting Highlands adalah kawasan sensitif alam sekitar tahap 1 dan 2, sebab itu ia penting dipantau oleh pihak berkuasa untuk memastikan pemilik kawasan tanah tersebut mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Potensi untuk berlaku tanah runtuh di kawasan-kawasan sensitif sekitar Genting Highlands itu ada sekiranya pemilik tanah tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Contohnya, tanah tersebut diluluskan untuk tanah pertanian tetapi pemilik membuat aktiviti lain seperti pembangunan resort yang akan menjadi faktor tanah runtuh,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, kawasan tragedi tanah runtuh di Batang Kali adalah kawasan perlindungan tetapi menjadi persoalan bagaimana di tengah-tengahnya terdapat kawasan tanah milik.
Katanya, kawasan sensitif alam sekitar tidak wajar diberi pemilikan kepada mana-mana pihak, tetapi perlu dipelihara sebagai kawasan perlindungan.
“Pihak berkuasa tidak boleh lagi memberi milik tanah kawasan sensitif kepada mana-mana pihak termasuklah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Tanah pertanian yang disalah guna seperti pembangunan chalet akan melibatkan pengorekan dan kerja tanah, maka akan menyebabkan tanah itu runtuh berbanding kerja-kerja pertanian organik yang tidak melibatkan kerja tanah,” katanya.
Sementara itu, aktivis alam sekitar, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa, banyak projek pembangunan yang dilakukan di kawasan cerun di negara ini tidak mengikut prosedur yang betul.
Katanya, sebarang pembangunan seperti jalan raya dan infrastruktur tidak sepatutnya dilakukan di atas 400 meter dari aras laut.
“Saya sudah banyak kali bangkitkan isu ini, jadi sekarang terpulang kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian menangani pembangunan di lereng-lereng bukit.
“Seperti yang dapat kita lihat di Genting Highlands, pembangunan yang dilakukan memang sudah tidak dapat dikawal,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam. – UTUSAN










