Kita perlukan naskhah suntikan nilai-nilai murni - Diana Danielle - Utusan Malaysia

Kita perlukan naskhah suntikan nilai-nilai murni – Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA drama dan filem tempatan berlumba-lumba menawarkan hiburan ringan, ada juga suara-suara prihatin yang menyeru agar naskhah yang dihasilkan turut menyampaikan mesej dan pengajaran kepada penonton, bukan sekadar mengejar rating atau tontonan semata-mata.

Kebimbangan terhadap gejala sosial yang kian meningkat dalam kalangan remaja juga membuatkan ramai mula melihat semula peranan media, termasuk drama dan filem, sebagai wadah pembentukan sahsiah dan minda masyarakat.

Bagi pelakon versatil Diana Danielle, isu ini bukan sekadar satu perbincangan kosong. Sebagai seorang anak seni dan juga seorang ibu, dia melihat sendiri kesannya terhadap generasi muda, termasuk kepada anak-anaknya sendiri.

Menurut pelakon filem Gol & Gincu dan Hanyut itu, kesejahteraan keluarga dan kestabilan emosi anak-anak sememangnya bermula daripada rumah, tetapi ia turut dipengaruhi oleh apa yang mereka tonton dan serap daripada persekitaran, termasuk media hiburan.

“Kebahagiaan anak-anak banyak bergantung kepada ibu bapa. Tapi dalam masa yang sama, pendedahan mereka kepada dunia luar,  terutama kandungan di TV dan internet juga beri kesan besar.

“Jadi, industri kita pun kena main peranan. Jadi dari soal tontonan, saya percaya, drama dan filem seharusnya bukan sekadar menjadi alat hiburan kosong.

“Ramai orang kata pengajaran perlu diberikan kepada anak-anak sebab banyak isu yang timbul tentang anak remaja. Kadang-kadang, sangat menakutkan. Jadi bagi saya, wajar sangat kalau cerita-cerita yang ada mesej positif ini dibanyakkan,” katanya.

Diana turut menegaskan bahawa kisah-kisah rakyat dan hikayat Melayu lama sebenarnya telah lama mengajar kita nilai-nilai moral yang tinggi.

Ia termasuk nilai seperti menghormati orang tua, menjaga maruah, dan menghargai keluarga. Namun,kata Diana, dalam arus moden ini, banyak nilai itu semakin pudar.

“Kita dibesarkan dengan nilai-nilai yang sama. Apa yang kita tengok dalam hikayat-hikayat itu sebenarnya dah diterapkan kepada kita sejak kecil. Adab nombor satu, hormat nombor satu.

“Walau miskin sekalipun, itu nilai utama yang membentuk jati diri,”ujarnya.

Pelakon berusia 33 tahun itu juga melahirkan rasa gusar melihat perubahan budaya tontonan generasi muda yang lebih cenderung kepada kandungan luar, khususnya dari Barat, yang banyak menonjolkan elemen fantasi dan percintaan tanpa sempadan.

“Kalau anak-anak hanya tahu tentang kisah dongeng Barat yang lebih kepada kisah percintaan dan fantasi, lama-kelamaan elemen budaya Melayu kita akan hilang.

“Jadi, saya sangat gembira bila Astro Ceria menghasilkan naskhah seperti Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup contohnya. Saya harap naskhah seperti ini terus dapat dihasilkan yang mana ia bukan sekadar menghiburkan, tetapi dalam masa sama menyemai nilai-nilai murni dalam jiwa kanak-kanak,”katanya.

Dalam pada itu, Diana juga mengakui bahawa cabaran membesarkan anak di zaman serba digital kini tidak semudah dahulu.

“Sekarang ni, masalah sosial makin lama makin banyak. Saya sendiri risau, anak-anak saya pun risau. Kadang-kadang mereka tanya, apa yang sedang berlaku, Ibu?

“Kenapa di sekolah banyak sangat kes-kes yang merisaukan? Tetapi dalam hal ini, tidak adil kalau kita nak salahkan ibu bapa semata-mata.

“Ramai yang terpaksa bekerja dua-dua untuk menampung keluarga. Bila anak-anak banyak masa sendiri, mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh. Tambahan pula dengan media sosial dan teknologi, memang susah nak bendung,”katanya.

Walau bagaimanapun, Diana  percaya bahawa kunci penyelesaian sebenar bermula di rumah.

“Sebagai ibu, saya rasa kita perlu sentiasa berbual dengan anak-anak, ambil tahu tentang kehidupan mereka. Kadang-kadang ibu bapa pun terkejut bila anak bertindak di luar kawalan.

“Saya pun selalu berdoa supaya anak-anak saya dilindungi bukan saja daripada menjadi mangsa, tapi juga supaya mereka tak jadi punca kepada masalah, seperti membuli,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN