KUALA KANGSAR: Kedudukan kewangan negeri Perak terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila kutipan hasil negeri mencecah RM1.1 bilion setakat 7 November lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencapaian itu sekali gus meletakkan kerajaan negeri di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran RM1.4 bilion bagi tahun ini.
Katanya, berdasarkan taksiran semasa, Kerajaan Negeri dijangka dapat menutup unjuran defisit sebanyak RM81.8 juta seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025.
“Dengan perkembangan ini, negeri Perak akan merekodkan lebihan atau surplus untuk empat tahun berturut-turut, sekali gus menjadi petanda bahawa hasil dan perbelanjaan negeri diurus secara cekap dan berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di Bukit Chandan, di sini hari ini.
Menurut Saarani, ekonomi negeri Perak turut menunjukkan momentum pertumbuhan positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat peningkatan kepada 4.4 peratus atau RM86.2 bilion pada tahun 2024 berbanding 2.7 peratus atau RM82.6 bilion pada tahun 2023.
Beliau berkata, pertumbuhan itu disokong oleh kekuatan berterusan sektor utama ekonomi negeri khususnya perkhidmatan dan pembuatan yang masing-masing menyumbang 63.3 peratus dan 19.4 peratus kepada keseluruhan ekonomi negeri.
“Sektor pertanian turut menyumbang 14.0 peratus manakala pembinaan dan perlombongan mencatat pertumbuhan masing-masing sebanyak 2.6 dan 0.6 peratus. Angka-angka ini menjadi tanda makmurnya negeri serta gigihnya rakyat berikhtiar membangunkan kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu Saarani berkata, Perak terus menjadi destinasi pelaburan yang kukuh apabila merekodkan pelaburan bernilai RM6.25 bilion melibatkan 203 projek sehingga Jun 2025.
Beliau berkata, berdasarkan laporan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah itu berpotensi menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
“Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 105 peratus dari segi nilai pelaburan dan 224 peratus dari segi penjanaan pekerjaan berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Perkembangan ini membuktikan keyakinan pelabur kepada ekosistem pelaburan negeri yang kian tegap, ibarat sauh berpaut kukuh di dasar samudera, tetap teguh meski digoncang badai,” ujar beliau.
Tambah Saarani, menjelang pembentangan Bajet Negeri Perak 2026 hujung bulan ini, beliau berkata, kerajaan negeri akan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri melalui kesinambungan projek berimpak tinggi.
Katanya, antara yang diberi penekanan ialah peluasan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan pengembangan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
“Turut diberi tumpuan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh yang kini dalam fasa penambahbaikan kemudahan kargo dan penerbangan serta pemuliharaan Tapak Warisan Dunia Lenggong bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. – UTUSAN










