PARIT: Ketua kumpulan pecah rumah dikenali ‘Ismail Gampang’ dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan melupuskan barang curi berupa rantai emas, gergaji besi dan tabung plastik.
Tertuduh, Ismail Dahalan, 61, dijatuhi hukuman tersebut selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama anak perempuannya, Noraini, 24, dan rakan wanita itu, Nur Jamaaton Farhanum Zainol Aman, 25, didakwa dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu empat utas gelang rantai emas kepunyaan seorang wanita yang dilaporkan hilang pada pukul 1.30 petang, 4 November 2025.
Pertuduhan ke atas mereka dijalankan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi yang boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan itu, Ismail dijatuhi hukuman penjara lapan bulan manakala Noraini dihukum penjara empat bulan bermula hari ini dan Nur Jamaaton Farhanum pula didenda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Dalam prosiding itu, Ismail turut didakwa di bawah seksyen kesalahan sama kerana dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu sebatang gergaji besi jenama Kazumi, satu unit mesin tertera tulisan ‘chain saw’ dan gergaji buatan besi dengan tulisan ‘harz’ di Kampung Tua Tanjung Belanja, Parit pada pukul 10 pagi, pada bulan Julai 2025.
Dia juga didakwa dengan sengaja melupuskan tabung plastik di kebun sawit Kampung Padang Kunchor, Bota Kanan pada pukul 12 tengah hari, 12 November 2025.
Bagi dua kesalahan tersebut, mahkamah memerintahkan agar Ismail menjalani hukuman penjara selama dua bulan bermula hari ini.
Bagaimanapun, lelaki itu hanya perlu menjalani hukuman penjara selama lapan bulan selepas mahkamah memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak mulai hari ini.
Sementara itu, dalam prosiding sama, Nurul Izalina turut menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas Noraini manakala Nur Jamaaton Farhanum pula didenda RM5,000 atau lapan bulan penjara selepas mengaku bersalah dengan sengaja menghapuskan harta curi iaitu dua keping jongkong emas dengan cara menjualnya.
Dua rakan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan di sebuah kedai emas di Taman Sitiawan Maju, Sitiawan pada pukul 3.05 petang, 27 Oktober 2025.
Nur Jamaaton Farhanum juga didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah memiliki harta curi iaitu lima helai kain pelikat pelbagai jenama dan warna di Kampung Kubang Chandong, Bota Kanan pada pukul 5.30 petang, 11 November 2025.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, seorang lagi anak perempuan Ismail, Nurul Atiqah, 18, dan anak tirinya, Norhidayah Abdullah, 27, didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu dua utas rantai leher emas, dua cincin emas, dua subang emas dan dua loket emas pada waktu pagi, 5 November 2025.
Mahkamah memutuskan hukuman penjara tiga bulan bermula hari ini terhadap Nurul Atiqah manakala Norhidayah yang tidak mengaku bersalah dibenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 1 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Norhidayah juga didakwa mencuri sebentuk cincin emas di sebuah rumah di Kampung Teluk Sareh Pulau Tiga, Kampung Gajah, pada pukul 11.15 malam, 8 November 2025.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 21 Januari 2025.
Dalam pada itu, abang kepada Ismail iaitu Husain, 64, turut dijatuhi hukuman penjara dua bulan selepas mengaku bersalah mencuri seutas jam tangan jenama G-Shock di sebuah rumah di Kampung Kota Pagar, Layang-layang Kanan pada pukul 10 malam, 2 November 2025.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd. Syukri Abdul Talib manakala keenam-enam tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadzrah Badarudin. – UTUSAN










