SEREMBAN: Semua kementerian, jabatan dan agensi dalam Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan komitmen tinggi untuk memperkasakan agenda bumiputera tanpa mengetepikan lain-lain kaum atau agama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, komitmen sama juga ditunjukkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Pelaksanaan ini tidak melingkari sebarang objektif bagi mencapai tujuan politik sebaliknya menterjemahkan komitmen dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan agenda ini.
“Saya sendiri mematuhi amanat Perdana Menteri untuk memantau pencapaian dengan mewujudkan Bahagian Pemerkasaan Agenda Bumiputera di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta GLC dan GLIC,” katanya kepada pemberita selepas program jelajah Road to Ramadhan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng di Pantai dekat sini semalam.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, semua jabatan dan agensi di bawah kementeriannya juga melaksanakan agenda berkenaan termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Jalinan kerjasama itu, jelasnya, tidak bergerak secara sendirian sebaliknya dengan penglibatan beberapa jabatan dan agensi yang lain.
“Mara umpamanya bersama dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera menterjemahkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35) mulai 2025 hingga 2035. Sebanyak 132 inisiatif telah digariskan di bawah PuTERA 25 sepanjang 10 tahun,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai larangan pihak polis yang tidak membenarkan penganjuran perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram semalam, Ahmad Zahid menyifatkan arahan polis itu sebagai tindakan yang wajar.
Menurutnya, pendekatan bil hikmah wabil hasanah atau kebijaksanaan dan bertatasusila perlu digunakan dalam menangani isu pembinaan rumah ibadat yang tidak mengikut undang-undang.
Katanya, terdapat pendekatan perundangan dan secara bijaksana untuk menyelesaikan masalah itu walaupun pembinaan rumah ibadat itu tidak mengikut peraturan.
“Jangan ada tindakan yang agresif yang akan menyebabkan masalah lain timbul. Kerajaan sangat prihatin terhadap isu ini dan semua pemimpin di negeri-negeri mesti menangani masalah ini secara bijaksana dan mengikut tatasusila di negara ini,” katanya.-UTUSAN.










