Ketua Jabatan di minta pantau kewangan penjawat awam - JPA

Ketua Jabatan di minta pantau kewangan penjawat awam – JPA

Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Bersama Pegawai Awam Negeri Melaka di MITC, Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua jabatan di semua agensi kerajaan diingatkan memantau kedudukan kewangan kakitangan masing-masing bagi mengelak mereka terjebak dalam sindiket rasuah dan pengubahan wang haram yang semakin membimbangkan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pemantauan itu penting bagi memastikan penjawat awam tidak dibebani hutang keterlaluan sehingga menjejaskan tumpuan terhadap tugas serta prestasi kerja.

“Kita tidak mahu penjawat awam menanggung hutang besar hingga hilang fokus kepada tanggungjawab utama. Akhirnya, mereka terdedah kepada risiko salah guna kuasa dan terjebak dalam masalah lebih serius.

“Walaupun peraturan mengenai had potongan gaji bagi penjawat awam telah termaktub, pelaksanaannya perlu dipantau dengan lebih tegas oleh ketua jabatan agar tidak disalahgunakan.

“Kes yang melibatkan penjawat awam membuat pinjaman bank luar biasa dan dihadapkan ke mahkamah, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya pada Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Bersama Pegawai Awam Negeri Melaka bertemakan ‘Pegawai Awam: Tiang Seri Reformasi Memenuhi Aspirasi Madani’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Mengulas isu Ops Sky, beliau berkata ribuan penjawat awam diperdaya oleh pegawai institusi kewangan dalam sindiket rasuah dan pengubahan wang haram sehingga membuat pinjaman luar biasa yang menyalahi tatacara perkhidmatan.

Sementara itu Wan Ahmad Dahlan berkata, pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) turut diperluas ke peringkat negeri bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Dalam tempoh 100 hari selepas ARPA diperkenalkan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah melaksanakan 18 inisiatif merangkumi empat teras keberhasilan reformasi demi mempertingkat kualiti dan integriti perkhidmatan awam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN