SEREMBAN: Masalah hakisan pantai di sekitar Port Dickson termasuk di Pantai Telok Kemang akan ditangani melalui peruntukan khas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan di beberapa kawasan yang terjejas teruk.
“Hakisan di Port Dickson ini memang sudah lama berlaku. Kami telah minta peruntukan dan Alhamdulillah dalam bajet kali ini memang telah diberi peruntukan di bawah RMK13,” katanya selepas merasmikan Program Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Peringkat Negeri Sembilan 2025 di sini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, keindahan Pantai Telok Kemang di Port Dickson kini terjejas dengan masalah hakisan pantai sehingga menjejaskan kemudahan awam dan mengundang risiko keselamatan kepada pengunjung.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, pelaksanaan kerja-kerja pemulihan itu akan dijalankan secara berperingkat mulai tahun hadapan mengikut peruntukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2026.
“Peruntukan untuk mengatasi hakisan ini sudah diumumkan dan insya-Allah kerja-kerja akan dijalankan mengikut jadual,” katanya.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 baru-baru ini memaklumkan pelbagai projek pembangunan serta penaiktarafan infrastruktur dan sosial yang telah dirangka menerusi RMK13 yang dimohon kerajaan negeri akan dilaksanakan.
Projek pembangunan itu termasuklah pemuliharaan Pantai Telok Kemang di Port Dickson.-UTUSAN










