KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menetapkan sasaran 60 peratus penyertaan wanita dalam pasaran buruh menjelang tahun 2030.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sasaran itu diletakkan melalui pelbagai insentif dan perundangan bagi meningkatkan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
Katanya, langkah itu termasuk tempoh cuti bersalin dinaikkan kepada 98 hari, pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) dan insentif cukai bagi majikan yang menyokong pekerja wanita.
“Bagi menggalakkan pelaksanaan AKF, kerajaan menyediakan insentif cukai sebanyak 50 peratus kepada majikan yang melabur dalam perisian dan infrastruktur sokongan AKF.
“Beberapa insentif cukai lain turut diberikan bagi menggalakkan wanita kembali ke pasaran kerja, yakni potongan cukai tambahan kepada majikan yang mengambil wanita sebagai pekerja dan pengecualian cukai pendapatan kepada wanita yang kembali berkerjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, bagi memastikan penjagaan keluarga tidak menjejaskan pekerjaan, kerajaan juga menyediakan potongan cukai tambahan untuk majikan yang menawarkan cuti penjagaan keluarga berbayar sehingga 12 bulan. – UTUSAN










