KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM13.7 juta kepada Kelantan untuk membangunkan tanah terbiar dalam tempoh 11 tahun bermula 2008.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, menerusi peruntukan itu sebanyak 1,000.35 hektar tanah terbiar dipulihkan.
Katanya, kerajaan negeri turut peruntukan sebanyak RM 12.6 juta bawah Program Pembangunan Tanah Terbiar bermula tahun 2006 sehingga 2024 yang melibatkan pembangunan tanah terbiar seluas 2,332.57 hektar.
“Keseluruhan peruntukan yang digunakan untuk membangunkan tanah terbiar ini termasuk sumbangan Kerajaan Persekutuan berjumlah lebih RM26.3 juta.
“Menurusi peruntukan itu, kita membangunkan 3,332.92 hektar tanah terbiar sepanjang 2006-2024,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad pada Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Tuan Mohd. Saripudin berkata, Kuala Krai merekodkan kawasan tanah terbiar tertinggi iaitu 1,021.7 hektar, diikuti Machang (773.5 hektar) dan Jeli (681.7 hektar) manakala Gua Musang (326.6 hektar) serta Tumpat (113.6 hektar) mencatat keluasan terendah.
“Antara tanaman yang diusahakan adalah tanaman kekal seperti kelapa, durian dan limau madu selain tanaman kontan seperti tembikai, nenas, cili, timun, jagung, melon serta pelbagai jenis sayur-sayuran.
“Keluasan minimum untuk mengusahakan tanah di bawah program itu ialah 0.4 hektar dengan kadar insentif RM25,000 bagi setiap hektar meliputi pembersihan kawasan, pembelian input pertanian, sistem pengairan, jalan ladang, pagar, bangsal serta kemudahan pascatuai,” ujarnya.
Tuan Mohd. Saripudin berkata, usaha ini bukan sahaja mengurangkan jumlah tanah tidak diusahakan malah menjana pekerjaan baharu dan memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri.
“Kita mahu setiap inci tanah berpotensi diusahakan semula supaya hasilnya dapat dinikmati rakyat, sejajar dengan hasrat memperkasa sektor pertanian Kelantan,” katanya. – UTUSAN










