PENAMPANG: Kenyataan kononnya Sabah hilang kelebihan jika memilih pemimpin parti Pusat adalah kurang bertanggungjawab dan berpotensi memecah-belahkan masyarakat.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, dakwaan sedemikian hanya mengundang sentimen anti Persekutuan, sedangkan semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah anak tempatan.
Katanya, pilihan raya diadakan bukan bertujuan untuk memecahbelah rakyat, sebaliknya bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil
“Pilihan raya negeri bukannya nak bermusuh-musuhan. Kita nak pilih satu kerajaan stabil, kuat, boleh kerja, ada hubungan baik antara Persekutuan dengan negeri supaya membawa pembangunan kepada Sabah.
“Jadi naratif membezakan antara parti tempatan dan nasional ini hanya cuba mencetuskan pertembungan,” katanya dalam Majlis Bersama Anthony Loke di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menyuarakan kebimbangan bahawa Sabah boleh hilang kelebihan jika memilih pemimpin parti nasional di mana keputusan akhirnya bergantung kepada seorang presiden parti di seberang laut.
Mengulas kedudukan PH dalam PRN, beliau menegaskan gabungan itu tidak bertanding banyak kerusi hanya 22 kerusi keseluruhan manakala DAP bertanding lapan dan tidak berada dalam posisi membentuk kerajaan negeri secara sendirian.
“Sekiranya kami menang kerusi yang ditandingi, kami akan menyertai kerajaan campuran. Berdasarkan saingan banyak penjuru, tiada mana-mana parti mampu membentuk kerajaan sendirian.
“Yang penting ialah kerajaan negeri yang stabil serta mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Anthony Loke menyifatkan kenyataan Ewon itu sebagai tidak wajar memandangkan Presiden UPKO berkenaan masih memegang jawatan Menteri Persekutuan secara teknikal.
“Jangan bercakap seolah-olah mahu bermusuhan dengan pemimpin dari Semenanjung, sedangkan beliau sendiri masih menerima gaji sebagai Menteri Persekutuan.
“Beliau telah serah surat perletakan jawatan tetapi belum berkuat kuasa kerana mahu menghabiskan cuti,” tegasnya.
Beliau menyifatkan kenyataan itu bukanlah budaya politik yang diperlukan Sabah.
“Sebagai anggota kabinet sebelum ini, sepatutnya sikap beliau menyatupadukan rakyat, bukan memecahbelahkan,” katanya.-UTUSAN










