SEREMBAN: Bermula sekadar menggunakan kayu terbuang di kolej namun akhirnya ia membuka peluang buat Mohammad Luqman Arif Hissham, 19, menjadikan bidang seni kayu sebagai sumber pendapatan buat dirinya.
Pelajar Sijil Teknologi Bangunan dari Kolej Komuniti Jelebu itu berkata, idea untuk menghasilkan produk-produk kayu bermula apabila dia dan rakan-rakannya melihat banyak bahan kayu lebihan di bengkel kolej yang tidak digunakan.
“Di kolej kami mempunyai banyak lebihan kayu yang tidak digunakan. Jadi, kami terfikir untuk menggunakan semula dengan menjadikan produk yang boleh dijual. Disitulah bermulanya kisah seni kayu saya.
“Antara produk kayu yang dihasilkan termasuklah rantai kunci, penanda kiblat dan permainan kanak-kanak. Saya menjual produk ini secara dalam talian khususnya di Instagram,” katanya ketika ditemui pada Program Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahun 2025 hari ini.
Ekoran pencapaian membanggakan itu, Mohammad Luqman Arif turut menerima Anugerah Pelajar TVET Cemerlang Negeri Sembilan 2025 pada program itu yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh pelaksanaan inisiatif pembangunan kemahiran melalui Akademi Dalam Industri (ADI) yang diterajui Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta berdaya saing.
Katanya, inisiatif strategik itu berperanan sebagai jambatan antara dunia pendidikan dan industri, selaras dengan usaha memperkukuh kecekapan serta produktiviti tenaga kerja negara.
“Sehingga kini, Negeri Sembilan merekodkan penyertaan 1,778 bakat dan 33 syarikat dalam program ADI mencerminkan keyakinan industri terhadap keberkesanan pendekatan latihan berasaskan tempat kerja yang diterajui MPC
“Usaha ini juga menyokong matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk meningkatkan pertumbuhan produktiviti pekerja sebanyak 3.6 peratus setahun serta nisbah pampasan pekerja kepada KDNK kepada 40 peratus menjelang 2030, selaras dengan pelaksanaan dasar upah progresif,” katanya.-UTUSAN










