Kadar baharu cukai taksiran MBAS perlu kelulusan kerajaan negeri

Kadar baharu cukai taksiran MBAS perlu kelulusan kerajaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) perlu mendapatkan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri (PBN) terlebih dahulu sebelum menguatkuasakan kadar baharu cukai taksiran yang dirancang bermula 1 Januari 2026.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, langkah itu selepas sesi pendengaran awam kepada pemilik pegangan yang membuat bantahan sebelum 5 November ini.

Katanya, terdapat seramai 8,150 daripada 95,170 pemilik pegangan mendaftar untuk bantahan itu setakat pagi ini sama ada secara bersemuka di Bilik Gerakan Penilaian Semula Cukai Taksiran MBAS atau melalui kod QR.

“Proses ini belum muktamad dan MBAS amat terbuka serta mengalu-alukan semakan dan bantahan daripada pemilik sehingga 5 November ini. Mereka yang bantah akan dipanggil untuk pendengaran awam dan kemudian baru kita bawa semula kepada PBN untuk ditimbangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

“Kalau dibenarkan barulah MBAS boleh melaksanakan penilaian semula ini. Negeri-negeri lain telah buat dan Kedah antara yang terakhir menilai semula dengan MBAS adalah PBT pertama di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBAS membentangkan Kertas Kerja Penilaian Semula dan Kadar dalam Majlis Penuh MBAS pada 26 Mei lalu dan mendapat kelulusan untuk diangkat kepada PBN untuk kelulusan.

“Pada 30 Jun, kertas kerja dihantar semula kepada Bahagian Kerajaan Tempatan untuk diangkat ke MMK bagi mendapatkan kelulusan sebelum Exco Kerajaan Tempatan membuat pembentangan pada 28 Ogos lalu. 

“MBAS akhirnya mendapat kelulusan untuk melaksanakan Senarai Nilaian Baru pada 1 Oktober lalu setelah melalui beberapa pindaan sebelum mengeluarkan Pemberitahuan Warta Notis serta tempoh mula semakan dan bantahan pada 9 Oktober,” katanya.

Beliau berkata, penilaian semula cukai taksiran bukan semata-mata melihat kepada kenaikan cukai sahaja kerana akan ada cukai taksiran yang akan turun. 

Ujarnya, pasukan penilai melakukan proses menyemak semula nilaian hartanah semasa yang kemudian didapati terdapat kawasan mengalami penurunan cukai taksiran sementara ada kawasan yang mengalami kenaikan.

“Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi nilaian hartanah yang perlu dipertimbangkan antaranya pembangunan dan pertumbuhan bandar-bandar kecil sekitar kawasan Bandaraya Alor Setar seperti Bandar Pokok Sena, Bandar Kuala Kedah dan Pekan Kota Sarang Semut,” katanya.

Tambah beliau, pemilik pegangan yang tidak mengemukakan bantahan rasmi selepas 5 November akan dikira bersetuju dengan penilaian semula itu bagi menggantikan senarai nilaian lama yang diguna sejak 1993. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN