PETALING JAYA: Seramai 4,096 pekerja Gaza yang dibuang kerja secara paksa selepas pencerobohan Israel pada 7 Oktober 2023 menerima bantuan tunai 700 shekel setiap seorang menerusi ansuran ke-19 yang disalurkan oleh Kementerian Buruh Palestin dengan kerjasama Program Makanan Sedunia (WFP).
Bantuan itu turut diberikan kepada pesakit dan pengiring mereka yang masih terkandas di Tebing Barat.
Pegawai Perhubungan Awam dan Media Kedutaan Palestin di Malaysia, Ola Ahmad, berkata langkah itu menunjukkan komitmen berterusan kerajaan Palestin membantu rakyat yang terkesan akibat pendudukan haram Israel.
“Kabinet Palestin juga menyeru tindakan segera dan bersepadu oleh negara Arab, Islam serta masyarakat antarabangsa bagi menghentikan pengusiran rakyat Palestin di Baitulmaqdis serta perluasan penempatan haram Israel,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Ola, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr. Mohammad Mustafa pada Selasa turut membincangkan perkembangan politik, diplomatik dan ekonomi semasa, termasuk usaha Presiden Mahmoud Abbas memperkukuh institusi negara dan perpaduan wilayah antara Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki.
Kabinet turut menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan Israel yang semakin meningkat di Baitulmaqdis, termasuk perintah pengusiran terhadap keluarga Palestin di kejiranan Batn al-Hawa, Silwan, sekatan terhadap sekolah dan halangan pergerakan penduduk melalui hampir 80 sekatan jalan dan pintu besi tentera.
“Kabinet menegaskan keperluan mobilisasi Arab dan Islam yang lebih kuat untuk menghentikan langkah-langkah haram Israel, yang menjejaskan kehidupan rakyat Palestin di kota suci ini.
“Kabinet juga menuntut tindakan antarabangsa yang lebih tegas terhadap Israel bagi menghentikan serangan peneroka haram ke atas rakyat Palestin di kawasan Klasifikasi ‘C’, khususnya terhadap petani zaitun dan wartawan,” katanya.
Kabinet mengecam kelulusan awal Knesset terhadap rang undang-undang yang membenarkan hukuman mati ke atas tahanan Palestin, yang dianggap melanggar prinsip hak asasi manusia.
Sementara itu, dari segi ekonomi, Ola berkata Kabinet membincangkan krisis kewangan serius akibat tindakan Israel menahan hasil kutipan cukai Palestin selama enam bulan berturut-turut, dengan jumlah tertunggak kini melebihi 13 bilion shekel sejak 2019.
“Bagi menangani isu tersebut, Kabinet menugaskan Jawatankuasa Menteri Ekonomi dan Pasukan Anti-Pembuangan Nasional memperkukuh langkah mengekang lambakan barangan import bernilai rendah serta memastikan pelaksanaan Protokol Ekonomi Paris dipatuhi, termasuk pemindahan hasil cukai kepada Kerajaan Palestin,” katanya. – UTUSAN







