Jururawat didakwa hentak tangan jiran hingga retak

Jururawat didakwa hentak tangan jiran hingga retak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang jururawat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada jirannya, Mei lalu.

Tertuduh, Chan Siew Peng, 51, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas jirannya berusia 55 tahun dengan menolak pintu jeriji rumah jirannya berulang kali sehingga menyebabkan keretakan di pergelangan tangan kanan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, di sini, pada pukul 3.30 petang, 15 Mei lalu.

Difahamkan tertuduh telah ke rumah mangsa yang juga seorang surir rumah untuk bersemuka dengan jirannya yang didakwa sering membuat bising.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan yang mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kerana dia merupakan ibu tunggal yang bekerja secara sambilan dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 15 tahun yang masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Disember ini bagi lantikan peguam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN