BACHOK: Seorang pemilik bengkel terkejut selepas menjumpai seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di kawasan pintu sebuah rumah banglo dua tingkat yang sedang dalam pembinaan di Kampung Pak Badol, di sini, hari ini.
Bayi yang masih bertali pusat dengan kepalanya dialas tuala itu ditemukan oleh Ahmad Bushra Zulkifli, 31, semasa sedang menunggang motosikal dan turun dari jejantas selepas menghantar anaknya ke sekolah kira-kira pukul 7.40 pagi.
Katanya, dia pada awalnya menyangka seekor kucing sedang bergerak di kawasan pintu rumah tersebut sebelum terus menghampirinya dan terkejut mendapati ia adalah seorang bayi.
“Saya bergegas memaklumkan penemuan bayi itu kepada jiran dikenali sebagai Kak Tie yang membawa pulang bayi itu ke rumah manakala saya terus menghubungi Klinik Kesihatan Mahligai untuk tindakan lanjut.
“Saya mengesyaki bayi itu baru dilahirkan dalam tempoh tiga jam sebelum ditinggalkan di kawasan rumah yang sedang dalam pembinaan. Mungkin ibunya tinggal tidak jauh dari kawasan kampung ini,” katanya di lokasi penemuan bayi itu.
Ahmad Bushra berkata, bayi itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut kira-kira sejam kemudian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu dari Klinik Kesihatan Mahligai di sini kira-kira pukul 8.45 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, bayi lelaki itu ditemui tanpa berpakaian dan dibalut menggunakan sehelai kain berwarna hijau di dalam sebuah rumah yang masih dalam pembinaan.
“Hasil pemeriksaan awal oleh doktor, bayi yang disyaki baru dilahirkan itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun terdapat kesan kemerahan pada bahagian mukanya.
“Bayi tersebut dibawa ke Wad Nilam 2, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dekat Kota Bharu untuk pemeriksaan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” ujarnya.
Mohamad Ismail berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meninggal bayi tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – UTUSAN
habis










