PETALING JAYA: Jawatankuasa Tatakelola Peringkat Nasional (JTK) terus memainkan peranan sebagai platform utama dalam memantau serta menyelesaikan isu tatakelola secara lebih teratur dan berfokus.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, hasil pemantauan berkala oleh JTK terhadap penyelesaian Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (LSPRM) sejak mesyuarat JTK Siri 2 Bil. 2 Tahun 2024, telah berjaya mengurangkan tunggakan laporan tahun 2023.
Katanya, sebanyak 83 peratus daripada 540 kes yang dilaporkan pada mesyuarat JTK tahun lalu.
“Selain itu, sebanyak 163 daripada 245 LSPRM bagi 2024 (67 peratus) dan sembilan daripada 121 LSPRM bagi 2025 (lapan peratus) juga telah berjaya diselesaikan.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan JTK sebagai platform pemantauan dan penyelesaian isu-isu tadbir urus secara berfokus dan berkesan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JTK Siri 6 Bilangan 3 Tahun 2025 di Dewan Persidangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Menurutnya, pencapaian itu turut disumbangkan oleh pelaksanaan Demerit Performance Evaluation atau Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) yang menjadikan penyelesaian LSPRM sebagai salah satu kriteria dalam menilai prestasi kementerian, jabatan dan agensi.
“Usaha penambahbaikan perlu dilaksanakan secara konsisten, termasuk cadangan agar kementerian atau agensi yang gagal melaksanakan penambahbaikan tadbir urus selepas melepasi tempoh 12 bulan dikenakan demerit tambahan sebagai langkah memastikan tindakan segera diambil,” jelasnya.
Dalam mesyuarat sama, Shamsul turut mengesyorkan supaya SPRM mengetuai satu pasukan khas khusus bagi memperkukuh kawalan terhadap pengimportan sisa plastik ke dalam negara yang akan turut dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi.
“Ini adalah selaras dengan usaha meningkatkan integriti serta pematuhan peraturan berkaitan pengurusan sisa,” katanya.
Sementara itu, Shamsul memaklumkan bahawa Malaysia akan menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) pada 5 Disember depan, dengan tema tahun ini, “Bersama Perkhidmatan Awam MADANI Memerangi Rasuah: Membentuk Integriti Masa Hadapan.”
Menurutnya, sambutan HARA tahun ini dijangka menghimpunkan lebih 2,000 peserta dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Turut hadir Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM. – UTUSAN










