GEORGE TOWN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memutuskan Mohd. Razwil Abdullah, 41, layak menerima status sebagai warganegara Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili beliau, Datuk Habib Rahman Seeni Mohideen.
Menurut Habib Rahman, keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 14 November 2024 kekal berkuat kuasa selepas JPN menarik balik rayuan yang sepatutnya didengar hari ini.
“Saya telah menerima pengesahan bahawa pihak perayu menarik balik rayuan tersebut. Dengan itu, keputusan Mahkamah Tinggi adalah muktamad dan kekal,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Kes tuntutan kewarganegaraan itu difailkan pada 8 April 2024 selepas Mohd. Razwil berjaya menjejaki seorang wanita yang menemuinya ketika masih bayi iaitu Rohaida Abdul Rashid yang kemudiannya menjadi satu-satunya saksi penting dalam permohonan berkenaan.
Mengulas lanjut, Habib Rahman berkata, keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini mengisytiharkan Mohd. Razwil sebagai warganegara Malaysia di bawah Perkara 14(1) Perlembagaan Persekutuan serta melayakkan beliau menerima taraf warganegara melalui prosedur undang-undang.
Katanya, mahkamah turut mengarahkan pihak defendan, termasuk Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian serta Ketua Pengarah JPN mengeluarkan sijil kelahiran baharu dan kad pengenalan warganegara kepada Mohd. Razwil.
Habib Rahman mengesahkan rayuan JPN telah difailkan dalam tempoh sebulan selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada November lalu, namun, langkah menarik balik rayuan hari ini menamatkan sepenuhnya proses perundangan berkenaan.
Ketika ditanya sama ada Mohd. Razwil sudah menerima dokumen pengenalan diri, beliau menjelaskan proses itu masih belum selesai.
“Selepas ini, kami akan mengambil langkah pentadbiran untuk mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan baharu seperti yang diarahkan mahkamah.
“Ini adalah kes yang berlarutan selama lebih 40 tahun dan hari ini, penantian serta polemik mengenai status beliau akhirnya menemui penyelesaian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Razwil yang kini bekerja sebagai pembantu kedai makan di Butterworth berkata, dia bersyukur dengan keputusan berkenaan dan segala penantiannya untuk mendapatkan status warganegara Malaysia telah berakhir.
“Selepas saya dapatkan kad pengenalan urusan saya lebih mudah. Nak isi minyak petrol pun perlukan kad pengenalan sekarang. Jadi, saya sangat bersyukur kerana kes ini telah selesai,” katanya. – UTUSAN









