SEREMBAN: Operasi penguatkuasaan terhadap kegiatan prebet sapu akan dipertingkatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di negeri ini.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya sentiasa memantau kegiatan yang dijalankan tanpa premit sah daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Bagi pemandu yang menjalankan aktiviti prebet sapu, tindakan saman akan dikenakan terhadap pemandu dan pemilik di bawah Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai kehadiran golongan prebet sapu di sekitar pekan Kuala Pilah yang menimbulkan keresahan dalam kalangan pemandu teksi.
Masalah itu bukan perkara baharu namun semakin ketara sejak kebelakangan ini sehingga menjejaskan pendapatan pemandu teksi yang beroperasi mengikut peraturan dan undang-undang.
Hanif Yusabra sementara itu berkata, penguatkuasaan itu tidak hanya tertumpu di daerah Kuala Pilah sebaliknya dijalankan di mana-mana lokasi yang dikenal pasti berlaku akitiviti mengambil penumpang bagi mendapatkan tujuan mendapatkan upah tanpa permit sah.
Mengulas mengenai dakwaan terdapat warga asing yang turut menawarkan perkhidmatan prebet sapu di sekitar kawasan Kuala Pilah beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal itu.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pemandu warga asing yang didapati menjalankan aktiviti mengambil penumpang bagi tujuan mendapatkan upah,” katanya. – UTUSAN










