JPA, Melaka perkukuh reformasi perkhidmatan awam

JPA, Melaka perkukuh reformasi perkhidmatan awam

WAN Ahmad Dahlan Abdul Aziz (duduk, tengah) bergambar kenangan pada Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Bersama Pegawai Awam Negeri Melaka di MITC, Ayer Keroh, Melaka hari ini.-UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka terus memperkukuh pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam
berasaskan nilai HEMAT bagi memastikan tadbir urus kerajaan kekal berintegriti, responsif dan berimpak tinggi kepada rakyat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pegawai awam berperanan sebagai tiang seri reformasi, penggerak perubahan dan pemegang amanah kepada aspirasi Madani.

Menurutnya, kerjasama erat antara JPA dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka menzahirkan kekuatan tadbir urus yang berpaksikan integriti dan empati, sekali gus menjadikan Melaka lambang reformasi berjiwa rakyat.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan reformasi harus diukur bukan sahaja melalui angka tetapi melalui tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang mengutamakan ketelusan serta keberhasilan sebenar dalam penyampaian perkhidmatan.

“Reformasi bukan sekadar perubahan prosedur, tetapi perubahan nilai dan sikap. Laporan Cadangan Pemajuan (LCP) 2.0 membuktikan bahawa tadbir urus yang disusun semula secara empatik dan strategik memberi manfaat langsung kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Pegawai Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Wan Ahmad Dahlan turut melancarkan Manual Laporan Cadangan Pemajuan (LCP) 2.0 Melaka, satu inisiatif di bawah Program Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) yang dibangunkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Melaka (PTG) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka serta bimbingan Malaysia Productivity Corporation (MPC).

Melalui pelaksanaan LCP 2.0, tempoh urusan pengambilan tanah berjaya dipendekkan daripada 36 bulan kepada hanya sembilan bulan, menjimatkan masa hampir 75 peratus dan mengurangkan kos pematuhan tahunan sebanyak RM6.22 juta.

Wan Ahmad Dahlan kemudiannya turut meninjau First Aid Station Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Banda Hilir di sini yang merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia hasil kerjasama MBMB dan St. John Ambulans Malaysia.

Kemudahan di situ menyediakan rawatan kecemasan segera kepada pelancong dan komuniti serta mencerminkan nilai empati dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau turut diberi taklimat mengenai Pasukan Paramedik Komuniti Melaka (Parakom) yang merupakan inisiatif kerajaan negeri sejak 2023 yang kini melibatkan lebih 1,500 sukarelawan di kawasan pelancongan utama serta program berskala besar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN