GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Jelawang di Kilometer 11.95 di sini ditutup kepada kenderaan selepas laluan itu runtuh pada pukul 6.56 petang tadi.
Runtuhan sepanjang 15 meter menyebabkan kedua-dua lorong tidak boleh digunakan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, runtuhan dikesan ketika oleh anggotanya yang sedang membuat rondaan di lokasi pada pukul 7.48 malam.
Katanya, pemeriksaan menjadi kejadian itu dipercayai berpunca akibat pergerakan tanah dan runtuhan jalan berturap.
“Susulan itu, jalan terbabit terpaksa ditutup kerana sangat berisiko untuk dilalui semua kenderaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan jalan itu bermula 17 November sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Katanya, pengguna perlu melalui jalan alternatif yang dicadangkan pihak JKR iaitu FT08 Jalan Gua Musang-Kota Bharu dan FT66 Jalan Kampung Sungai Sam-Jeli.-UTUSAN









