KUALA LUMPUR: Permohonan rasmi beberapa parti politik termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai parti komponen akan dipertimbangkan dalam mesyuarat kepemimpinan gabungan itu kelak.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertimbangan tersebut dibuat setelah parti itu mengemukakan permohonan dan konsisten sehingga hari ini untuk bekerjasama dengan PN pada pilihan raya akan datang.
“Pejuang telah beberapa kali membuat permohonan dan sikap mereka yang konsisten membantu PN dalam beberapa pilihanraya. Buat masa ini Pejuang diterima sebagai rakan PN.
“Saya kira permohonan ini akan dipertimbangkan dalam mesyuarat PN nanti, bersama beberapa parti lain yang menyatakan hasrat menyertai PN,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan PN bagi mengukuhkan blok pembangkang.
Bagaimanapun, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika memikul tugas sebagai Setiausaha Agung PN memaklumkan permohonan Pejuang ditolak oleh Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 20 Mac 2023.-UTUSAN.










