Jadi penari usia 15 tahun, dituduh makan duit haram - Utusan Malaysia

Jadi penari usia 15 tahun, dituduh makan duit haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA perfileman tanah air menyaksikan kemunculan ramai pelakon wanita yang memiliki pakej lengkap. Namun, bukan semua mampu bertahan.

Jasmin Hamid antara pelakon yang membuktikan dirinya masih relevan meskipun pelakon wanita zaman sekarang hadir silih berganti.

Bukan mudah untuk bertahan dalam industri yang mencabar serta penuh persaingan. Oleh itu, satu pencapaian direkodkan pelakon berusia 53 tahun ini kerana karier lakonannya kini berkekalan lebih tiga dekad.

Bertahannya Jasmiah Abdul Hamid dalam dunia drama dan perfileman tempatan mungkin, selain usaha dan minat, juga kerana niat yang simpan di permulaan pembabitannya.

Jasmin ketika usia belasan tahun sudah mula berazam untuk membawa keluarganya keluar dari masalah kemiskinan.

“Saya tidak dilahirkan dalam keluarga senang. Dulu, ayah saya , Allahyarham Abdul Hamid Nyam Mohamed berniaga sate dan nasi impit di pasar malam Kampung Baru, manakala ibu saya, Allahyarhamah Khadijah Adnan pula suri rumah tangga sepenuh masa.

“Kami tidak memiliki rumah, justeru kami terpaksa tinggal di rumah nenek saya dengan bayaran sewa RM70 sebulan.

“Jadi, saya sudah biasa hidup susah. Malah ketika usia 10 tahun, saya ikut arwah ayah saya berniaga di pasar malam,” katanya.

Pendedahan awal anak kelahiran Kuala Lumpur ini dalam dunia seni bertitik tolak menerusi pembabitannya sebagai penari Allahyarham Jaafar Onn.

Jasmin yang ketika itu berusia 15 tahun, hadir ke uji bakat ditemani ibunya.

“Arwah ibu sejak awal selalu bagi dorongan dan sokongan terhadap minat seni saya. Dia ternampak iklan uji bakat menjadi penari Jaafar Onn dalam akhbar, justeru segera menyarankan saya hadir ke uji bakat tersebut.

“Kedatangan kami ke lokasi uji bakat di Jalan Maarof Kuala Lumpur membuahkan hasil. Saya diterima menjadi penari Jaafar Onn, mengikat kontrak selama satu tahun dengan bayaran RM30 bagi setiap persembahan.

“Arwah ayah dan adik beradiknya sebenarnya tidak bersetuju dengan pembabitan saya sebagai penari kerana mereka khuatir pelajaran saya terganggu.

“Tetapi saya berkeras kerana saya waktu itu ingin bantu keluarga. Hasil pendapatan yang saya terima dapat digunakan untuk membeli beras, bayar sewa rumah dan menampung perbelanjaan sekolah.

“Disebabkan saya ini anak sulung, saya rasa bertanggungjawab untuk membantu kerana pendapatan keluarga kami tidak seberapa,” kongsinya lagi.

DIMARAHI PENGETUA SEKOLAH

Jasmin, selain memiliki wajah yang kebudak-budakkan, juga dikurniakan ketinggian persis model.

Jaafar Onn sedar potensi Jasmin yang boleh digilap menjadi peragawati, justeru Allahyarham bersungguh-sungguh melatih dan membimbing Jasmin ke arah bidang tersebut.

“Saya selalu dilantik sebagai model untuk memperagakan pakaian yang dihasilkan arwah.

“Sebenarnya bidang peragaan ini bukan asing buat saya malah sebelum itu, saya pernah menyertai Ratu Kebaya Kampung Baru 1986 dan mendapat tempat ketiga dalam pertandingan itu.

“Beberapa tahun kemudian saya sertai pula pertandingan Dewi Remaja dan berjaya mara ke peringkat akhir

“Disebabkan ketinggian, ramai yang menyokong saya jadi model dan masuk pertandingan ratu cantik,” kongsinya.

Penglibatan dalam dunia peragaan membuatkan Jasmin semakin dikenali apatah lagi wajahnya pernah muncul sebagai sampul hadapan Pancaindera pada usia belasan tahun.

“Disebabkan itu saya jadi terkenal di sekolah sehinggakan pernah dimarahi guru besar yang tidak menyukai saya masuk ke dalam bidang peragaan kerana status saya sebagai penerima bantuan Baitulmal.

“Yang membuatkan saya terkilan apabila pengetua tersebut tergamak menuduh saya makan duit haram hasil kerja menari dan menjadi model,” kongsinya.

TAK LAYAK WATAK UTAMA KERANA BABYFACE

Langkah sulung Jasmin ke dalam dunia lakonan bermula sebagai pelakon tambahan filem Wanita Bertudung Hitam.

Namun, kemunculannya semakin menyerlah menerusi filem Boss yang ditayangkan pada 1991.

Jasmin tidak menyangka dirinya berpotensi menjadi pelakon bahkan pembabitan dalam bidang itu juga berlaku secara kebetulan.

“Kebetulan salah satu lokasi penggambaran filem Wanita Bertudung Hitam dibuat di studio Jaafar Onn. Jadi, arwah mencadangkan produksi mengambil saya berlakon.

“Kemudian saya ditawarkan watak berdialog dalam filem Boss dengan menerima bayaran RM400 untuk penggambaran selama dua minggu. Saya akui masa itu lakonan saya agak ‘kayu’,” kongsinya.

Jasmin memaklumkan bukan mudah untuk membina nama sebagai pelakon. Malah dia mengambil masa bertahun-tahun untuk memperbaiki dan membuktikan kepada penerbit tentang kebolehan lakonannya.

“Bertahun-tahun saya diberikan watak pembantu. Pernah seorang pengarah ini berkata, yang saya belum layak membawa watak utama kerana wajah saya yang keanak-anakkan.

“Dan tentulah ketika itu saya belum mampu berlakon dengan baik kerana tidak berpengalaman.

“Itulah cabaran pelakon lama. Tidak mudah untuk mendapat kepercayaan pengarah atau penerbit selagi belum terbukti kebolehan berlakon,” ujarnya.

Kata Jasmin lagi, pengalaman jugalah yang membentuk disiplin dan melahirkan pelakon yang berkualiti.

“Pengalaman saya melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana seorang pelakon dimaki oleh pengarah di set penggambaran membuatkan sampai hari ini saya sentiasa bersedia menghafal skrip dan mendalami watak sebelum memulakan penggambaran.

“Saya tidak mahu apa yang dihadapi pelakon tersebut berlaku kepada saya. Jadi, saya sentiasa belajar memperbaiki kebolehan lakonan,” jelasnya.

BERGURU DI SET PENGGAMBARAN

Jasmin memetik nama Fauziah Nawi, Zaidi Omar dan Nasir Bilal Khan sebagai antara pelakon yang menjadi guru lakonan yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

Malah, Jasmin juga berterima kasih kepada Nasir yang satu masa dulu pernah meninggalkan nasihat yang membawa impak dan perubahan kepada kerjaya lakonannya.

“Nasir pernah tegur supaya saya keluar zon selesa, tolak watak komedi untuk perbanyakkan watak yang lebih serius.

“Saya ketika itu kurang yakin kerana takut kehilangan tawaran. Namun Nasir berjaya mengubah fikiran saya yang kemudiannya berubah haluan dengan mula melakonkan watak serius.

“Ternyata, apa yang dikatakan Nasir itu benar belaka kerana selepas mengubah haluan bermula 2000, saya mula dihujani watak serius dan disebabkan itu lakonan saya semakin mendapat perhatian,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN