PETALING JAYA : Polis menjalankan siasatan terhadap seorang wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ yang didakwa menghalang tugas dan menghina anggota polis trafik ketika menjalankan tugas di Jalan Ipoh, kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku di hadapan sebuah restoran pizza apabila anggota polis trafik menahan pemandu warga Pakistan berusia 34 tahun yang dikesan memandu tanpa lesen.
“Ketika anggota polis sedang berurusan dengan pemandu itu, wanita berkenaan tiba-tiba datang dari arah belakang lalu menuduh anggota polis mengugut pemandu terbabit,” katanya di sini hari ini.
Fadil berkata, wanita tersebut turut mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan dan mendakwa anggota polis tidak tahu undang-undang, sekali gus memperlekehkan kredibiliti pasukan keselamatan itu di lokasi kejadian.
Susulan kejadian itu, anggota polis terlibat telah membuat laporan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.
Terdahulu, video kejadian itu tular di media sosial selepas dimuat naik oleh wanita berkenaan yang mendakwa anggota polis tersebut mengugut penunggang motosikal warga asing itu.-UTUSAN










